Sukan

Kembalikan kepada matlamat asal

Kembalikan UiTM FC kepada matlamat asal dengan memberikan keutamaan kepada pemain di kalangan penuntut universiti sahaja untuk beraksi bersama pasukan.

Itu cadangan pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli terhadap inisiatif yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan UiTM FC daripada terus berkubur dalam saingan Liga Perdana.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, pasukan bertaraf universiti itu sepatutnya menghimpunkan pemain terhebat di kalangan pelajar seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

Katanya, matlamat terbabit sudah terpesong terutama ketika UiTM FC beraksi di Liga Super dengan masing-masing terlalu ‘ghairah’ mengambil pemain lain dan import sehingga dibebani kewangan yang tinggi.

Apa yang boleh saya katakan adalah agak memalukan jika UiTM tarik diri dengan hanya beraksi di Liga M3 atau Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekali gus usaha dan pengorbanan selama ini adalah sia-sia.

Saya memang ada mendengar bahawa peruntukan kepada pasukan terbabit untuk musim 2022 tidak sampai separuh sekali gus agak sukar untuk membentuk skuad yang mantap.

“Namun, pengurusan UiTM perlu lebih bijak mencari dana tambahan terutama membina jalinan atau perjanjian bersama Alumni untuk memperoleh dana,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan UiTM FC kemungkinan bakal menjadi pasukan pertama Liga Malaysia (Liga M) menarik diri dalam saingan musim ini.

Situasi berkenaan ketika ini bertiup kencang apabila pasukan bertaraf universiti itu kekurangan dana untuk meneruskan saingan pada musim ini sekali gus menyaksikan lebih separuh pemain termasuk barisan kejurulatihan ‘angkat kaki’ ke kelab lain.

sumber:- HM

Menurut sumber dalaman pasukan terbabit, UiTM FC hampir ‘patah kaki’ untuk menyiapkan pasukan apabila dana yang diterima untuk musim ini dipotong lebih 50 peratus sekali gus kelab yang pernah beraksi di Liga Super itu tidak boleh membeli pemain baharu.