Pasukan kebangsaan Laos melakukan perubahan drastik selepas kempen mengecewakan di Piala AFF 2020 dengan melantik Michael Weiss sebagai jurulatih baharu skuad itu.

Pengendali dari Jerman berusia 56 tahun itu menggantikan V Selvaraj dan dilaporkan mengikat kontrak selama tiga tahun hingga 2024.

Persekutuan Bolasepak Laos (LFF) juga seakan mengambil pendekatan seperti Vietnam apabila Weiss akan bertanggungjawab mengendali skuad bawah 23 (B-23) dan pasukan senior Laos.

Menurut artikel di laman aseanfootball.org, Weiss mahu memberi fokus sepenuhnya untuk membawa kemajuan kepada pasukan bola sepak Laos ke tahap lebih baik.

Pertama sekali, terima kasih kepada Presiden (Viphet Sihachakr) dan LFF atas kepercayaan mereka kepada saya. Kami berkongsi visi yang sama untuk membawa bola sepak Laos ke peringkat lebih tinggi.

Saya tidak sabar untuk membawa pengalaman saya kepada pemain muda. Melatih pasukan kebangsaan, pada pendapat saya adalah posisi penting untuk memajukan bola sepak ke hadapan.

“Saya menganggap satu penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan Laos. Saya akan membina pasukan yang berdaya saing untuk mencapai potensi penuh mereka dan menghasilkan keputusan yang bagus,” kata Weiss yang pernah membimbing pasukan Filipina dan Mongolia.

Beberapa pasukan termasuk Harimau Malaya, Singapura dan Vietnam mengalami perubahan selepas menghadapi saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura, bulan lalu.

Harimau Malaya dan Singapura kehilangan jurulatih selepas Tan Cheng Hoe dan Tatsuma Yoshida meletak jawatan selepas kejohanan itu, manakala Vietnam pula menyaksikan peletakan jawatan oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF), Le Khanh Hai.

sumber:- BH

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh dalam laporan BH Sukan hari ini menganggap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengambil pendekatan sama seperti Vietnam dan Laos dengan melantik pengendali B-22 negara, Brad Maloney sebagai jurulatih Harimau Malaya bagi menggantikan Cheng Hoe.