Sukan

Malaysia masih dalam landasan yang betul

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter de Roo percaya peta hala tuju F:30 dan DNA bola sepak Malaysia berada di landasan yang betul meskipun prestasi pasukan kebangsaan negara di Piala AFF 2020 baru-baru ini mengecewakan.

Katanya, F:30 masih lagi relevan dan ia tidak perlu diubah di atas kegagalan skuad negara sebelum ini.

FAM sudah ada perancangan dan kita tidak seharusnya mengambil tindakan melawan arus peta hala tuju hanya kerana pasukan senior negara gagal dalam satu kejohanan. Kita tidak boleh membuat perancangan atau dasar berdasarkan emosi.

F:30 kekal sebagai garis panduan serta misi dan visi yang jelas bagi setiap pemegang taruh di Malaysia. Bagi saya, FAM mengambil tindakan berani dengan berkongsi visi dan misi mereka kepada masyarakat yang kritis dan gilakan bola sepak.

“Meskipun sememangnya terdapat elemen dan sasaran tertentu yang tidak dipenuhi, ia kekal sebagai laluan dan hala tuju setiap pemegang taruh bola sepak tempatan. Ia adalah platform dan laluan kerjaya dan pembangunan buat pemain, jurulatih, pengadil, ahli gabungan dan kelab untuk bekerja ke arah satu matlamat yang sama,” kata De Roo.

De Roo menegaskan bahawa dalam analisis ekosistem pembangunan bakat yang dikeluarkan oleh Fifa pada September 2021, badan induk dunia itu mendapati Peta Hala Tuju F:30 sebagai strategi jangka panjang komprehensif yang direka untuk membina pasukan kebangsaan yang kompetitif berteraskan pembangunan akar umbi, kejurulatihan, infrastruktur dan pertandingan.

Dalam misi mengumpul dapatan yang diketuai oleh kumpulan pemikir strategik dari FIFA dengan latar belakang cemerlang bermula 2019, laporan data yang mendalam serta khusus sudah dikumpul daripada 205 negara anggota FIFA, termasuk FAM.

Beliau yang menghabiskan empat tahun selaku Pengarah Teknikal FAM, menegaskan laporan analisis Fifa itu mendapati FAM mempunyai falsafah permainan kebangsaan yang jelas ditakrifkan menerusi DNA Malaysia dengan berpaksikan pemerkasaan pendidikan kejurulatihan.

Apabila kami wujudkan DNA dengan cara atau gaya Malaysia, formasi 4-3-3 dilihat sebagai formasi paling sesuai untuk menghidupkan serta membantu melahirkan pemain kreatif, dengan corak permainan menguasai bola dan kaedah menutup ruang dan memberi tekanan tinggi kepada lawan secara kolektif seperti yang dipamerkan oleh pasukan kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.

Ideanya ialah mempamerkan gaya permainan berasaskan penguasaan proaktif, dengan pemain belajar membuat keputusan yang betul secara kendiri pada setiap masa.

“Formasi yang dipilih oleh jurulatih mungkin berbeza-beza, terutama pada peringkat kumpulan umur yang lebih berusia di peringkat belia, tetapi selagi falsafah ini berasaskan penguasaan bola yang proaktif, ia menepati DNA Malaysia,” katanya yang berasal dari Belanda.

Jelas De Roo lagi, formasi 4-3-3 adalah sekadar mandat untuk melihat mana yang paling sesuai bagi pasukan belia dalam memahami falsafah di sebalik permainan berasaskan penguasaan dan pertahanan bersifat menekan lawan secara kolektif.

sumber:- HM

Terdahulu, FAM dikritik hebat oleh peminat bola sepak tempatan selepas skuad Harimau Malaya terkandas di peringkat Kumpulan B Piala AFF di Singapura sekali gus gagal mencapai sasaran untuk layak ke final.