Sukan

Malaysia sah ambil pendekatan berbeza

Ketika beberapa pasukan di rantau ini terus giat merangka aksi persahabatan pada jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) hujung bulan ini, lain pula ceritanya bagi skuad Harimau Malaya.

Ia berikutan apabila disahkan tiada langsung sebarang perancangan bagi mengadakan aksi persahabatan, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya akan terus ‘ditidvrkan’ buat seketika selepas kegagalan di Piala AFF di Singapura bulan lalu.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Teknikal baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell yang mengakui tidak bercadang untuk menggunakan jendela Fifa itu bagi mengasah kembali taring pasukan negara.

Sebaliknya, beliau melihat aksi pada bulan Mac yang juga berada dalam jendela Fifa kemungkinan akan diadakan kem latihan pertama buat pasukan negara untuk tahun ini.

Malah, isu ketiadaan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe yang sudah meletakkan jawatan pada Isnin lalu turut menjadi faktor mengapa O’Donell enggan memanggil kem latihan pusat.

Buat masa ini tiada lagi perancangan untuk mengatur aksi antarabangsa membabitkan skuad Harimau Malaya pada kalendar antarabangsa Fifa pada Januari ini.

“Situasi ini berikutan pasukan Liga Malaysia (Liga M) sedang giat menjalankan sesi latihan pramusim dan tidak wajar untuk kami merencat momentum tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Untuk rekod, O’Donell dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Datuk Ong Kim Swee pada September lalu.

O’Donell, 54, yang berasal dari Australia dilihat individu paling tepat mengisi kekosongan itu di mana beliau adalah bekas pemain import Kuala Lumpur pada tahun 1994 hingga 1995.

Oleh sebab itu, beliau cukup mengenali budaya bola sepak Malaysia dan dijangka tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri.

sumber:- HM

Selain menjadi jurulatih Geylang United, beliau juga mempunyai pengalaman sebagai pengendali skuad kebangsaan Kemboja pada 2005 hingga 2010 sebelum menjadi Pengajar Kejurulatihan Akademi Bola Sepak India (AIFF).