Bekas pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof giat mempromosi jersi pasukan baharunya BRM FC yang akan beraksi dalam pertandingan bola sepak Liga M3 musim depan.
Azmeer, 31, sedia membayar potongan 30 peratus daripada harga jersi kelab berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak itu manakala peminat, penyokong dan warganet membayar selebihnya.
“Hai semua! Sempena hujung tahun ini saya nak belanja korang. Korang beli jersi BRM FC 2022 dengan harga RM100. Kat sini saya topup RM30, korang hanya bayar RM70 sahaja. Saya serius ni, tak main-main. Jika berminat nak beli jersi BRM FC 2022 boleh pm saya. Sekali lagi, korang keluar RM70, saya RM30,” tulisnya dalam perkongsian di laman Facebook.
“Kualiti kain juga sangat berkualiti. Rekaannya sudah tentu memang cantik. Yang paling best jenama ini adalah jenama tempatan. Secara tak langsung kita sokong jenama tempatan,” katanya.
Selain itu, Azmeer turut berkongsi sejarah pasukan BRM FC yang difahamkan hasil daripada singkatan Budak Rumah Murah, sesuatu yang sinonim di bandar diraja Perak itu suatu ketika dulu.
Pasukan itu ditubuhkan pada 2008 dan didaftarkan secara rasmi di bawah Pesuruhjaya Sukan setahun kemudian.
Kelab itu beraksi di liga Kuala Kangsar sejak penubuhannya dan buat julung kali akan bermain di Liga M3 pada 2022. Mereka sepatutnya sudah beraksi dalam Liga M3 tahun ini namun pertandingan itu terpaksa dibatalkan disebabkan pand3mik C0vid-19.
Menurut sejarah yang dimuat naik Azmeer, antara kejayaan terbaik BRM FC adalah muncul naib juara dua tahun berturut-turut kejohanan bola sepak Kuala Kangsar edisi 2016 dan 2017 dan ketiga pada 2018.
“Kepada korang yang selalu bagi semangat kepada saya dan minta supaya saya bermain bola sepak semula, ini untuk anda! Terima kasih banyak kerana mendoakan. Kita kayuh sama-sama dari bawah sampai berjaya semula ok,” katanya yang berazam membantu BRM FC layak ke Liga Perdana 2023.
sumber:- HM
“Tiada yang mustahil dalam dunia ini jika diizinkan Allah,” tulisnya yang kini menjalani latihan di bawah kendalian pemain legenda Manja Man.