Sukan

Jangan nak ‘kelentong’

Laporan lengkap mengenai prestasi skuad kebangsaan pada kempen Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 baru-baru ini perlu dibuat secara telus demi memastikan Malaysia tidak kempunan beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata laporan yang telus akan memudahkan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam menetapkan hala tuju baharu skuad Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.

Beliau berkata laporan lengkap tanpa menyembunyikan sebarang fakta amat penting bagi mengetahui sama ada pasukan negara masih berada di landasan tepat atau sebaliknya, selain mengambil maklum segala kekurangan untuk ditangani.

“Semua kena faham keputusan di Piala AFF menunjukkan terdapat kelemahan daripada segenap aspek, jadi semua pihak terlibat perlu menyediakan satu laporan yang telus untuk jawatankuasa menilai dan membuat tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Yusoff berkata kedua-dua laporan lengkap dari pihak pengurusan dan kejurulatihan akan dinilai secara teliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dipengerusikan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pada mesyuarat yang dijadual berlangsung bulan depan.

Beliau yang juga pengurus skuad kebangsaan berkata fokus utama mesyuarat tersebut adalah mengenal pasti punca kegagalan pasukan negara dalam mencapai sasaran layak ke final Piala AFF 2020 ditetapkan FAM selepas terkandas di peringkat kumpulan.

Katanya mesyuarat berkenaan turut akan menumpukan terhadap segala faktor penyumbang kepada punca kegagalan dan kelemahan pasukan yang terserlah pada kejohanan dwitahunan itu yang berlangsung di Singapura.

Kita tengok memang ada hiccups (sedikit kekurangan) yang jelas berdasarkan keputusan di Piala AFF dan ia menunjukkan banyak perkara perlu kita selaraskan semula atau pun diperbaiki untuk memastikan pasukan ini berdaya saing di kelayakan Piala Asia 2023 kerana sasaran kita untuk bermain di Piala Asia.

Mesyuarat ini akan kaji dari segi pemain, pengurusan, kejurulatihan, apa yang perlu diperbaiki dan perkara mana perlu ditambah baik. Selepas itu baru jawatankuasa akan menentukan hala tuju baharu,” katanya sambil memaklumkan perincian hala tuju pasukan turut mengambil kira kedudukan ketua jurulatih.

Pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dijadual berlangsung pada Jun tahun depan.

Mohd Yusoff pada masa sama berkata soal kesanggupan FAM membayar gaji tinggi kepada seseorang ketua jurulatih turut akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut seandainya terdapat keputusan untuk menggantikan pengendali terkini, Tan Cheng Hoe.

Pasukan negara menjadi tumpuan peminat dan pengkritik tempatan susulan kemerosotan prestasi dengan kemuncaknya pada kempen Kejuaraan Piala AFF 2020 apabila Malaysia selaku naib juara edisi 2018 gagal melangkah ke peringkat separuh akhir.

Harapan untuk melihat pasukan negara sekurang-kurangnya menyamai pencapaian tiga tahun lepas itu musnah selepas skuad bimbingan Cheng Hoe menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga di belakang musuh tradisi Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

Malaysia yang melalui tempoh persiapan singkat dan mencabar terutama dari aspek ketersediaan pemain, memulakan kempen dengan cemerlang apabila membenam Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan Vietnam 0-3 dan Indonesia 1-4.

Senario itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Malaysia menamatkan penantian lebih 40 tahun layak secara merit ke Piala Asia selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 1980 di Kuwait.

sumber:- BH

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30).