Sukan

Vietnam ucap selamat tinggal Piala AFF

Thailand dan Indonesia akan berentap bagi merebut gelaran ‘Raja Bolasepak ASEAN’ pada aksi final Piala AFF 2020 di Singapura.

Ini selepas Thailand yang juga juara lima kali mara ke final selepas menyingkirkan juara bertahan, Vietnam 2-0 secara agregat dalam aksi timbal balik separuh akhir.

Memegang kelebihan dua gol, Thailand menutup peluang Vietnam untuk mempertahankan kejuaraan selepas masing-masing terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional, sebentar tadi.

Pada aksi terbabit, Vietnam memaksa Thailand untuk lebih banyak bertahan pada babak pertama dan menghantar amaran awal menerusi percubaan Nguyen Quang Hai seawal minit ketiga yang tepat ke dakapan Chatchai Budprom.

Tindakan Chatchai yang cuba ‘menyapu’ bola tinggi mengundang padah apabila dia mengalami kecederaan sekali gus terpaksa digantikan dengan Siwarak Tedsungnoen pada minit ke-31.

Selepas rehat, Vietnam terus menggandakan asakan untuk mendapatkan gol yang didambakan namun buntu sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus membolehkan skuad ‘Gajah P3rang’ ke final buat kali kesembilan.

sumber:- BH

Terdahulu, skuad ‘Garuda’ terlebih dahulu mengesahkan tiket ke final selepas mengetepikan juara empat kali yang juga tuan rumah, Singapura 5-3 secara agregat, semalam.