Penjaga gol Melaka United (MU), Ahmad Solehin Mamat mengesahkan bakal menyertai pasukan Kelantan FC musim depan.
Katanya, dia bakal bersama Kelantan selama tiga musim sekali gus bertekad untuk membantu The Red Warri0rs (TRW) lebih mantap dalam tempoh terbabit.
Malah sebagai pemain sudah pasti dia mahu melakar kejayaan manis sepanjang kontrak bersama pasukan berkenaan itu.
Menurutnya, dia sentiasa mendoakan pasukan Melaka bakal lebih menyerlah dalam saingan musim depan selepas skuad berkenaan kini berada dalam landasan terbaik untuk mencipta kejayaan lebih gemilang.
Pengalaman bersama pasukan Hang Tuah amat positif kerana berkesempatan bersama rakan penjaga gol terutama Khairul Fahmi Che Mat dan Norazlan Razali yang juga memiliki pengalaman membarisi skuad negara.
“Pengalaman itu amat penting dalam misi saya bersama Kelantan kali ini kerana apa yang diperolehi akan digunakan sebaik mungkin membantu pasukan mara ke Liga Super,” kata bekas penjaga gawang skuad Harimau Muda B itu.
Justeru, misi awalnya untuk membawa pasukan berada dalam Liga Super.
Malah dia melihat gandingan muka baharu dan barisan pemain yang dikekalkan oleh pengurusan pasukan itu, meletakkan skuad berkenaan mampu merealisasikan hasrat terbabit.
Bekas penjaga gol Kuala Lumpur yang menyertai Melaka pada musim 2020/2021 terbabit juga baharu sahaja melangsungkan perkahwinan di Ipoh, kelmarin.
Beliau berkata, majlis persandingan bersama isterinya Raja Nurnina Qamarina Raja Azlan Shah di Batu Berendam, Melaka bakal berlangsung 1 Januari ini.
sumber:- HM
Justeru, dia mengharapkan doa peminat kebahagiannya dan semoga perkahwinan mereka akan berkekalan sehingga ke syurga.