Sukan

“sogokan ” untuk pemain Thailand

Terdesak untuk merampas kembali kejuaraan bola sepak Piala AFF kali ini, Thailand dilaporkan bersedia menawarkan ganjaran sekali ganda daripada hadiah juara keseluruhan sebanyak AS$300,000 (RM1.27 juta).

Pengurus Thailand, Nualphan Lamsam yang juga seorang ahli perniagaan wanita berjaya negara itu, menjanjikan bonus sebanyak AS$600,000 (RM2.54 juta) jika anak buahnya muncul sebagai juara kali keenam.

“Wang bukanlah jawapannya (meraih kejayaan) tapi ini akan membantu menaikkan moral mereka,” kata Nualphan.

“Sasaran pemain adalah untuk memenangi kejuaraan untuk diri mereka dan rakyat Thailand. Selain AS$300,000 atau kira-kira 10 juta baht daripada AFF (Persekutuan Bolasepak Asean), saya akan memberikan mereka 20 juta baht jika mereka menang kali ini.”

Dengan skuad 30 pemain, setiap pemain akan menerima kira-kira 1 juta baht (RM127,000) jika mereka meraih kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 2016.

“Ia satu pengiktirafan bermain untuk pasukan kebangsaan Thai. Tapi ia satu pengiktirafan yang lebih besar jika anda membantu pasukan memenangi kejuaraan,” kata Nualphan.

Jurulatih berasal dari Brazil, Alexandre ‘Mano’ Polking dipilih oleh Nualphan dan pasukannya hanya beberapa bulan lalu selepas beliau dilantik sebagai pengurus pasukan pada Ogos lalu.

Nualphan yang lebih dikenali sebagai ‘Madam Pang’ adalah pengerusi kelab Port FC dalam Liga Perdana Thailand. Dalam dunia perniagaan, beliau adalah presiden dan ketua pegawai eksekutif Muang Thai Insurance Plc.

Thailand adalah negara paling berjaya dalam Piala AFF dengan lima kejuaraan, diikuti Singapura dengan empat.

Pasukan bergelar Gajah P3rang itu melangkah setapak untuk merealisasikan impian Nualphan apabila muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir malam tadi dari Kumpulan A selepas menundukkan Filipina 2-1 dengan striker veteran Teerasil Dangda menyumbang dua gol.

Dua gol Teerasil, 33, striker yang pernah beraksi di Liga Jepun, turut melonjakkannya sebagai penjaring gol terbanyak Piala AFF sepanjang zaman dengan 19 gol, dua gol mengatasi bintang legenda Singapura, Noh Alam Shah.

sumber:- HM

Teerasil juga kini pendahulu penjaring gol terbanyak kejohanan bersama bintang negara Safawi Rasid dengan empat gol.