Sukan

Bekas Pemain Kelab Belgium Sah import terbaharu Liga M

Pemain kelahiran Senegal, Pape Diakite menjadi ‘rekrut’ baharu Terengganu FC (TFC) bagi memantapkan skuad itu musim depan.

Pemain berketinggian 1.94 meter itu bakal mengisi posisi pertahanan tengah bagi menggantikan pemain kebangsaan Filipina, Carli De Murga yang tidak disambung kontrak.

Ketua Pegawai Eksekutif, Terengganu Football Club ( TFC ) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pemain tinggi lampai itu menjadi ahli keluarga baharu skuad Penyu selepas diikat kontrak selama setahun.

Katanya, pemain yang pernah beraksi bersama kelab Ho Chi Min City dan Saigon FC dalam Liga utama Vietnam itu bakal memperkuatkan posisi pertahanan bersama pemain tempatan, Shahrul Nizam Ros Hasni dan pemain kelahiran Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Muhammad Adib Zainuddin.

Pemain berasal dari Dakar itu berpengalaman beraksi dalam pentas Piala AFC bersama pasukan Ho Chi Min City musim lalu.

“Kehadiran pemain itu akan memberi impak yang besar buat pasukan sekali gus bakal memantapkan lagi posisi pertahanan dalam misi untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim depan,” katanya.

Berdasarkan rekod pemain beragama Islam itu pernah menyarung jersi sembilan kelab berbeza sepanjang kariernya termasuk kelab Police Tero dalam Liga Thailand pada 2018.

Diakite juga pernah mewakili kelab gergasi Belgium, Royal Antwerp, pada 2013 sebelum berkelana ke Amerika Syarikat pada 2016 sehingga 2018.

Pemain berusia 28 tahun yang memulakan karier bersama kelab ASC HLM dalam Liga Senegal pada 2011 menjadi pemain import kelima disambar TFC setakat ini.

sumber:- BH

Sebelum ini TFC Sdn Bhd sudah mengikat bekas striker Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman, Jordan Mintah (Ghana), Habib Haroon (Bahrain) dan Argzim Redzovic dari Montenegro.