Sukan

Yusri sah lepas jawatan

Bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah sah menamatkan ‘jodoh’ dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lebih awal apabila melepaskan jawatan selaku pengendali skuad Projek FAM-MSN.

Pengesahan itu diumumkan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar selepas Yusri ditawarkan kontrak oleh pasukan lain.

Katanya, biarpun kontrak Yusri masih berbaki setahun daripada dua tahun bersama skuad Projek FAM-MSN, badan induk itu sudah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak berkenaan.

‘FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yusri atas khidmatnya sepanjang semusim mengendalikan Skuad Projek FAM-MSN bagi saingan Liga Perdana 2021 dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya nanti,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Skuad khas yang diwujudkan pada awal musim ini menamatkan kempen Liga Perdana di tangga tercorot selepas tewas 16 aksi daripada 20 perlawanan diharungi, di mana pasukan itu hanya menang sekali dan seri tiga kali untuk memungut enam mata.

Pasukan yang ditunjangi pemain muda berusia 20 tahun ke bawah itu adalah salah satu program pembangunan jangka panjang dengan sasaran beraksi di Sukan Sea Kemboja 2023 dan Kelayakan Olimpik Paris 2024.

Untuk itu, skuad ini didedahkan beraksi di Liga Perdana bagi mematangkan pasukan itu.

sumber:- HM

“Bagi mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN itu untuk menghadapi saingan Liga Perdana 2022, FAM dan MSN akan mengadakan sesi temu duga calon-calon dalam masa terdekat dan akan mengumumkan siapa ketua jurulatih baharu pasukan berkenaan selepas keputusan dibuat,” katanya.