Sukan

Kpah Sherman sah sertai Gergasi Liga Super baharu

Striker skuad kebangsaan Liberia, Kpah Sherman sah menjadi keluarga baharu Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu mengikat kontrak selama setahun dan bakal menyarung jersi nombor 9 sebagai striker utama bersama striker kelahiran Ghana, Jordan Mintah yang dikekalkan sehingga 2023.

Sebelum sah memperkuatkan jentera s3rangan skuad kendalian Nafuzi Zain itu, pemain yang pernah beraksi dengan 14 pasukan berbeza sepanjang kariernya bermula 2009 juga turut diintai tiga lagi pasukan Liga Super.

Namun keinginan untuk menabur bakti bersama pasukan TFC menyaksikan pemain itu memilih skuad Penyu.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pemain berusia 29 tahun itu bersetuju menyarung jersi skuad Penyu selepas rundingan berakhir dengan keputusan positif antara kedua-dua belah pihak.

Pemain itu memutuskan untuk berhijrah ke Terengganu atas beberapa faktor termasuk corak permainannya bersesuaian dengan corak pasukan TFC selain dia melihat pasukan ini mampu memburu kejuaraan pada musim akan datang.

“Sherman yang meledak 13 gol musim ini bersama KDA FC tetap memilih untuk berhijrah walaupun bekas pasukannya itu bakal beraksi di pentas Asia musim depan kerana meminati gaya permainan pasukan ini yang baginya mampu meningkatkan lagi kualiti permainan yang ada padanya.

“Dia juga begitu gembira dengan peningkatan pemain muda TFC selain komited dan bersemangat untuk membantu pasukan TFC memburu kejuaraan lebih-lebih lagi TFC menyasarkan untuk menjulang piala pada musim depan selain beraksi pada pentas Piala AFC 2023,” ujar Mohd Sabri.

Berdasarkan rekod, Sherman mula beraksi dalam saingan Liga M sejak 2017 bersama pasukan Majlis Sukan India Malaysia- Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) sebelum berhijrah bersama pasukan PKNS pada 2018 dan KDA FC selama dua musim bermula 2019.

sumber:- BH

Terdahulu, TFC Sdn Bhd mengekalkan khidmat pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon, Argzim Redzovic (Montenegro) dan Mintah manakala lima lagi pemain import iaitu David Da Silva, Makan Konate, Dechi Marcel, Carli De Murga dan Masaki Watanabe digugurkan.