Sukan

Keputusan sah secara Rasmi

TERENGGANU FC (TFC) mengambil keputusan mengekalkan khidmat pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.

Menurut laman sesawang TFC, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada mesyuarat itu beberapa perbincangan dan keputusan telah diputuskan berkenaan persediaan pasukan musim hadapan termasuk status ketua jurulatih pasukan Terengganu FC.

“Melalui mesyuarat ini, keputusan bagi mengekalkan pengendali Terengganu FC 2021 Nafuzi Zain bagi saingan musim hadapan telah dipersetujui. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira banyak aspek termasuk pelan persediaan musim 2022 telah dipersiapkan termasuk senarai pemain yang akan bersama dan akan dilepaskan kelab ini bagi saingan musim hadapan,” kata kenyataan yang dipetik dari laman sesawang tersebut pada Isnin.

Bagaimanapun menurut TFC, keputusan itu bergantung kepada Nafuzi sama ada menerima atau menolak tawaran yang diberikan pihak kelab yang bersaing dalam saingan Liga Super tersebut.

“Pihak pentadbiran ini berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pengendali Terengganu FC itu di samping mengharapkan prestasi Terengganu FC akan terus meningkat bertepatan dengan aras pencapaian yang telah ditetapkan bagi musim 2022 dan persiapan rapi pasukan-pasukan Liga Super lain,” katanya.

Skuad Penyu mengakhiri saingan Liga Super 2021 pada kedudukan keempat liga dengan 38 mata dengan 11 kemenangan, lima seri dan enam kekalahan selepas mengharungi 22 perlawanan.

sumber:- SH

Sementara dalam saingan Piala Malaysia, kemaraan anak buah Nafuzi disekat pada peringkat separuh akhir apabila tewas dengan agregat 4-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).