Sukan

Ini perasaan saya sendiri — Aidil

Ketua pasukan skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak mengingatkan barisan Harimau Malaya tidak memandang mudah kemampuan Kemboja apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi pembukaan Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura esok.

Berdasarkan kedudukan Kemboja di tangga ke-170 dunia berbanding Harimau Malaya (154) dan jika mengambil kira rekod pertemuan sebelum ini, anak buah Tan Cheng Hoe tidak berdepan masalah untuk membuka saingan Kumpulan B dengan langkah kanan.

Namun, Aidil menyifatkan Kemboja yang dibimbing Keisuke Honda sudah meningkat dan tidak mustahil Harimau Malaya boleh dihukum dengan kekalahan sekiranya terlalu mengambil mudah perlawanan itu.

Kita sudah lihat perlawanan Kemboja sebelum ini, mereka pasukan berbeza yang ada sekarang ini berbanding kali terakhir kita lawan mereka pada 2018. Corak permainan mereka sudah berbeza, tak sama macam dulu.

Mereka lebih pantas, jadi kita kena lebih berhati-hati dan kita tak boleh anggap skuad mereka sekarang sama dengan skuad yang sebelum ini.

“Saya tak nak rakan sepasukan yang lain dan saya sendiri menganggap Kemboja salah satu pasukan untuk kita mudah mencari kemenangan,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Selain itu, Aidil turut menyatakan sedikit kerisauan mengenai keserasian keseluruhan pemain dalam pasukan selepas mengharungi persiapan singkat selain tanpa sebarang aksi pemanas badan.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bagaimanapun berharap siapa sahaja yang akan diturunkan men3ntang Kemboja nanti dapat memberikan persembahan terbaik mengikut segala taktikal jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Setiap pemain ada perasaan berbeza, ini perasaan saya sendiri dan mungkin saya salah atau mungkin saya betul. Tapi secara logiknya kita nak ke kejohanan mesti ada persiapan yang bagus dan ada perlawanan pemanas badan.

Kita tiada perlawanan persahabatan, dari segi itu yang buat rasa sedikit risau tapi saya harap kerisauan saya ini tidak menjadi salah satu benda yang menjadi beban kepada pasukan.

sumber:- BH

“Tiga mata ini (berdepan kemboja) penting untuk beri keyakinan kepada pemain menghadapi perlawanan seterusnya terutama untuk berdepan Vietnam, Indonesia dan Laos. Apa jadi sekali pun kita tetap perlu kemenangan dan tak boleh kalah,” katanya.