Sukan

Khairul Fahmi akui kurang berpuas hati

PENJAGA gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat gembira apabila tercalon untuk merebut trofi Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) selepas mengharungi musim mencabar tahun ini.

Selain Khairul Fahmi, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Farizal Marlias dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC) turut berada dalam senarai akhir bagi merebut gelaran Penjaga Gol Terbaik pada musim ini.

Khairul Fahmi, Kalamullah dan Farizal adalah tiga calon terakhir terbaik di antara 10 calon bagi kategori Anugerah Penjaga Gol Terbaik yang disaring oleh Ahli Jawatankuasa Saringan ABK21 serta hasil undian 23 Ketua Jurulatih, 23 Kapten pasukan Liga Malaysia dan 23 wakil media yang ditutup pada 21 November.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek bagaimanapun mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi dalam saingan Liga Super sekali gus menganggap peluangnya agak mencabar untuk merampas trofi itu daripada Farizal yang dinobatkan juara pada musim lalu.

Bekas penjaga gol Kelantan ini berjaya merekodkan empat ‘clean sheet’ dan bolos 21 jaringan dalam 22 perlawanan Liga Super pada musim ini.

Saya bersyukur masih lagi tercalon untuk ABK tahun ini tetapi saya tidak letak harapan yang tinggi.

“Bagi saya, menang itu satu bonus dan sudah dikira cukup baik apabila tercalon sebab sekarang pun ramai lagi penjaga gol yang semakin berbakat kita dapat tengok,” katanya.

Dalam pada itu, penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pula menganggap pencalonan kali kedua dalam ABK pada tahun ini membuktikan dirinya di landasan yang tepat untuk terus mencipta nama sebagai penjaga gol yang berkualiti.

Apatah lagi berada sebaris dengan pesaing yang lebih berpengalaman seperti Apek dan Farizal menjadikan penjaga gol berusia 26 tahun ini semakin bersemangat untuk mempamerkan prestasi cemerlang pada musim ini.

“Peluang untuk menang pada tahun ini kalau nak dibandingkan dengan mereka berdua memang jauh daripada segi pengalaman dan saya pun tidak berharap terlalu tinggi.

“Cuma saya rasa ini satu penghargaan apabila tercalon buat kali kedua dan saya berbangga dengan diri sendiri sebab bagi saya, ia bukan satu kerja yang senang untuk bermain dengan PJ City dengan satu-satunya pasukan menggunakan khidmat pemain tempatan sahaja”, jelasnya.

Farizal pula kini menjadi antara penjaga gol yang paling banyak meraih trofi Penjaga Gol Terbaik bersama-sama Apek iaitu sebanyak lima kali bermula pada 2009, 2015, 2018, 2019 dan 2020.

Musim ini penjaga gol berusia 35 tahun itu hanya bolos sembilan jaringan dan telah merekodkan sembilan ‘clean sheet’ daripada 22 perlawanan Liga Super menyaksikan peluangnya untuk mempertahankan kemenangan adalah cerah.

sumber:- SH

Namun, keputusan hanya akan diketahui dalam ABK21 yang akan diumumkan pada Sabtu ini bersama 15 kategori lain seperti Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Striker Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik, Fan XI dan lain-lain lagi.