Bagaikan mimpi jadi kenyataan buat pemain veteran Kuala Lumpur City FC (KL City), Shukor Adan yang dianggap sebagai ‘kuda tua’ namun tetap mampu menjulang Piala Malaysia di saat karier sebagai pemain bola sepak berakhir.
Walaupun hanya beraksi dalam tempoh seminit saja pada final Piala Malaysia namun bagi Shukor peluang diberikan oleh jurulatih adalah kenangan terindah terutama skuad The City Boys berjaya menamatkan penantian 32 tahun.
Shukor berkata perlawanan di peringkat final bukan hanya semata-mata berdasarkan kekuatan pasukan namun lebih kepada bernasib baik.
Saya berterima kasih kepada pemain Kuala Lumpur yang berusaha membantu mencapai impian saya untuk beraksi di final Piala Malaysia.
“Beraksi di pentas final dan menjulang Piala Malaysia adalah satu keajaiban malah boleh dikatakan menempa sejarah kerana di usia 42 tahun boleh lagi menang piala ini.
Saya sudah berkecimpung dalam bola sepak 24 tahun dan untuk apa meneruskan lagi karier ini kerana mahu menumpukan kepada keluarga.
“Mungkin nanti saya akan terbabit di belakang tabir dalam barisan kejurulatihan kerana jiwa saya tetap bola sepak,” katanya.
Untuk rekod, ini adalah penampilan kelapan Shukor Adan di perlawanan akhir dan akhirnya berjaya menjulang kejuaraan kelima dan kariernya selepas empat kali memenanginya bersama Selangor (2002, 2005) dan Negeri Sembilan (2009, 2011).
Sepanjang tempoh karier pemain itu, dia sudah beraksi bersama tujuh pasukan antaranya Negeri Sembilan, Selangor, ATM, Felda United, Melaka dan yang terakhir adalah Kuala Lumpur.
sumber:- HM
Pemain berasal dari Melaka itu turut pernah dipanggil mewakili negara dengan kali terakhir mewakili skuad kebangsaan pada 2014.