Sukan

Messi lebarkan rekod pemain terbanyak menang Anugerah Ballon d’Or

Lionel Messi melebarkan rekodnya selaku pemain terbanyak memenagi Anugerah Ballon d’Or selepas mengatasi Robert Lewandwski untuk dinobatkan sebagai pemenang edisi 2021 awal pagi tadi.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mungkin melalui permulaan perlahan di Perancis musim ini tetapi dia memaparkan aksi luar biasa sewaktu mewakili Barcelona dan pasukan kebangsaan Argentina tahun ini.

Sudah pasti kejayaan menamatkan kemarau gelaran panjang La Albiceleste membantu Messi menewaskan striker Bayern Munich, Lewandowski, dalam perebutan gelaran itu.

Messi mengetuai Argentina memenangi Copa America pada Julai lalu, sekali gus menamatkan kemarav kejuaraan utama selama 28 tahun buat negara kelahirannya itu.

Dalam aksi final di Stadium Maracana — tempat sama Argentina tewas kepada Jerman dalam final Piala Dunia 2014 — Messi membantu skuad bimbingan Lionel Scaloni itu meraih kemenangan 1-0 ke atas seteru tradisi dan tuan rumah, Brazil.

Messi mungkin bukan pemain paling menyerlah tahun ini tetapi sepanjang kejohanan itu, dia dinobatkan sebagai pemain terbaik dengan menjaringkan empat gol dan menghasilkan lima bantuan jaringan — rekod terbaik dalam edisi kali ini.

Lewandowski sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan untuk memenangi anugerah itu selepas memecahkan rekod 40 gol dalam satu musim Bundesliga yang sekian lama dipegang Gerd Muller.

Ramai beranggapan striker kebangsaan Poland itu sepatutnya memenangi Ballon d’Or edisi 2020 sebelum ia dibatalkan berikutan pand3mik k0ronavirvs.

Bagaimanapun, kejayaan Messi di Brazil kelihatan sudah cukup untuk membantunya memenangi Ballon d’Or edisi tahun ini, di mana pemain berusia 34 tahun itu kini melebarkan rekodnya dengan dua gelaran mengatasi bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo (lima gelaran) — yang menduduki tangga keenam keseluruhan edisi kali ini.

sumber:- astro arena

Lewandowski, dalam pada itu, memenangi Anugerah Striker Terbaik Tahunan.