Sukan

Juara Piala Malaysia, Pasukan ‘kayangan’ atau Pasukan ‘marhaen’

Selatan atau Lembah Klang yang akan menjadi destinasi dituju seterusnya untuk sambutan ulang tahun ke-100 trofi Piala Malaysia musim ini?

Persoalan itu hanya akan terjawab selepas aksi final antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Atas kertas, ramai yang menganggap ‘tiket perjalanan’ Piala Malaysia sudah dipegang oleh skuad JDT yang bernilai RM29 juta itu berdasarkan segala kelebihan yang dimiliki skuad ‘sempurna’ Harimau Selatan berbanding skuad ‘underdog’ KL City yang hanya bernilai RM16 juta berdasarkan www.transfermarkt.com.

Namun, tiket itu akan terbatal sekiranya strategi rahsia pengendali KL City, Bojan Hodak boleh memerangkap bekas pasukan yang dibimbingnya pada 2014 dan 2015 itu, sekali gus membawa kembali trofi Piala Malaysia ke Kuala Lumpur selepas 32 tahun.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini, ia tidaklah terlalu teruk buat KL City apabila mereka terikat 1-1 di gelanggang sendiri dan hanya tewas tipis 1-2 di Stadium Sultan Ibrahim.

Malah, jika mengikut sejarah Piala Malaysia pula, sejak 2015 tiada pasukan yang berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua selepas memenangi trofi itu.

Pahang menjadi pasukan terakhir berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi selepas muncul juara pada 2013 dan 2014.

Bagaimanapun, berdepan KL City, peluang sememangnya terbuka luas untuk JDT mengubah sejarah itu selepas lima tahun ia dimenangi pasukan berbeza setiap musim – kecuali tahun lalu Piala Malaysia dibatalkan kerana C0v!d-19.

Walaupun cerita di kedai kopi menjangkakan aksi final kali ini akan lebih dikuasai JDT, namun terdapat kemungkinan permainan sengit bakal disaksikan kerana berdasarkan rekod sepanjang Piala Malaysia musim ini, Harimau Selatan dan City Boys ‘suci’ daripada kekalahan.

Jika dilihat kepada ketajaman penyudah, tiada perbezaan ketara antara Harimau Selatan dan City Boys apabila masing-masing meledak 19 dan 17 gol sepanjang saingan itu.

Peledak berbisa KL City yang juga penjaring terbanyak Piala Malaysia ketika ini, Romel Morales (10 gol) dan mesin gol JDT, Bergson Da Silva (tujuh gol) dijangka menjadi tumpuan pada aksi final kali ini serta bakal dikawal rapi pertahanan kedua-dua pasukan.

Beralih kepada benteng pertahanan, JDT tampak lebih kebal apabila muncul pasukan paling sedikit bolos dalam saingan Piala Malaysia musim ini apabila anak buah Benjamin Mora hanya melepaskan dua gol dalam 10 perlawanan.

Berbeza dengan KL City, Hodak mungkin perlu mencari jalan untuk memperkemaskan lagi kubu skuadnya yang agak rapuh apabila melepaskan enam gol termasuk empat dalam aksi peringkat kumpulan dan dua lagi di separuh akhir.

sumber : BH

Apa yang pasti, strategi jurulatih dari Mexico, Mora dan Croatia, Hodak serta persembahan pemain di atas padang akan menentukan siapa lebih layak menjulang Piala Malaysia, malam ini.