Sukan

Kuala Lumpur City lakar sejarah

Kuala Lumpur City (KL City) mara ke final Piala Malaysia selepas 32 tahun selepas menewaskan Melaka 5-3 menerusi sepakan penalti pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput pagi ini.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 dengan agregat 2-2 untuk menamatkan kemarau pasukan pelawat mara ke final.

Melaka lebih awal melakukan asakan menerusi percubaan Giovane Gomes pada minit ke-5 dan ke-7 namun gagal men3mbusi kubu pelawat.

Ketika keghairahan tuan rumah melakukan asakan, KL mencuri peluang menerusi aksi kelam kabut di muka gawang Melaka untuk jaringan pembukaan perlawanan.

Situasi terbabit membolehkan K Partiban berjaya menolak masuk jaringan pertama pasukannya pada minit ke-9 menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Cemas selepas ketinggalan, skuad Hang Tuah cuba mengatur gerak lebih agresif bagi memadam kelebihan jaringan terbabit.

Beberapa percubaan bahaya tuan rumah menerusi Ahmad Syamim Yahya m-19 dan Adriano Narcizo (m-31) bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol, Kevin Mendoza.

Babak kedua menyaksikan Melaka terus berusaha memecah kebuntuan jaringan namun percubaan deras Khairul Anwar Shahrudin pada m-52 diselamatkan Kevin.

Kehadiran kira-kira 20,000 penyokong setia jelas membakar semangat tuan rumah untuk menggandakan asakan ke kubu pelawat kerana menyedari perlu untuk menyamakan kedudukan dan mencari gol tambahan.

Bagaimanapun, percubaan Manuel Ott pada minit ke-58 tersasar ke kiri gawang tuan rumah namun gol yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-65 menerusi jaringan Syamim.

Gol terbabit berpunca daripada sepakan sudut Sony Norde yang membias ke kaki Syamim yang pantas menolak masuk gol penyamaan terbabit.

Selebihnya setiap gerakan anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan berjaya dipintas pelawat dan mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas agregat 2-2 selepas 90 minit perlawanan.

Tambahan 30 minit menampilkan penguasaan Melaka namun setiap percubaan mereka gagal membuahkan hasil bagi mengheretkan aksi ke sepakan penalti.

sumber:- HM

Aksi perlawanan tertangguh lebih sejam akibat gangguan lampu limpah dengan perlawanan hanya bermula jam 10.08 minit.