Jika anda pemain, pegawai mahupun penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United FC, anda mungkin perlu menghentikan pembacaan setakat di perenggan pertama.
Ini kerana berita ini mengandungi ‘spoiler’ yang mana mungkin tidak akan menyenangkan hati anda menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia yang akan berlangsung malam esok.
Tetapi buat Terengganu FC (TFC) dan KL City FC, mungkin ini fakta yang boleh melegakan anda dan menjadi tonik untuk bangkit dalam misi menempah slot ke pentas akhir Piala Malaysia, Selasa ini.
Ketika ramai yang menilik final edisi kali ini bakal menemukan juara bertahan, JDT dan Melaka United susulan kelebihan satu gol di tempat lawan yang dimiliki mereka, namun statistik menceritakan sebaliknya.
Berdasarkan semakan di Internet sejak Piala Malaysia edisi 2000, tidak semua pasukan yang terikat pada aksi pertama dan membawa kelebihan satu gol di tempat lawan dapat meneruskan ‘perjalanan’ ke pusingan seterusnya.
Ini kerana kelebihan terbabit untuk mengharungi aksi kedua seakan tidak bermakna memandangkan mereka ‘bungkus’ di laman sendiri sekali gus membenarkan lawan mendapat slot untuk ke final.
Antaranya adalah FELDA United pada suku akhir 2016 di mana mereka mengikat T-Team 1-1 di Kuala Terengganu namun tewas 1-0 di tangan lawan pada aksi di Jengka.
Begitu juga pada suku akhir 2014, PDRM membawa kelebihan satu gol apabila terikat 1-1 dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, namun tumbang 2-0 pada aksi kedua di Stadium Shah Alam.
Pada separuh akhir 2006, Telekom Melaka mensia-siakan kelebihan satu gol di tempat lawan apabila membenarkan Negeri Sembilan Naza menang 2-0 ke atas mereka pada aksi di laman sendiri.
Situasi sama berlaku pada separuh akhir 2003 apabila Perak mengikat Sabah 1-1 di Likas namun ‘amukan’ Sang Badak pada aksi kedua menyaksikan Sabah menang 3-1 di Ipoh.
Perlis juga memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan pada suku akhir 2001, namun mereka gagal ke separuh akhir apabila ditundukkan Pahang dengan keputusan 2-3 di laman sendiri.
Jelas di sini statistik tidak pernah menipu dan ada beberapa pasukan sebelum ini yang pernah membuktikan betapa kelebihan satu gol di tempat awal tidak menjamin apa apa.
sumber:- BH
Jadi terserah kepada TFC dan juga KL City FC untuk memilih bagaimana mereka mahu ‘masuk’ ke dalam buku statistik – sama ada menjadi ‘pengikut’ ataupun ‘pen3ntang’ dengan cara mereka sendiri.