Sukan

Fokus Negara Lupakan Kelab Seketika

Skuad Harimau Malaya turun menjalani latihan pertama di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam dengan disertai kelompok pertama iaitu pemain yang pasukannya sudah terkeluar daripada saingan Piala Malaysia.

Walaupun hanya babitkan 11 daripada 28 pemain yang disenaraikan untuk kem latihan kali ini, tugas barisan kejurulatihan pada hari pertama itu dilihat agak sibuk dengan beberapa penekanan diberikan pengendali negara, Tan Cheng Hoe.

Menurut jurulatih kebangsaan itu, dua perkara pokok menjadi perhatian utama dalam sesi sulung itu dengan tahap kecergasan dan emosi pemain kini dalam pemantauannya.

Katanya, pemain dilihat agak kepenatan selepas mengharungi peringkat suku akhir Piala Malaysia sebelum ini selain perasaan kekecewaan yang dialami pemain.

Latihan fasa pertama ini kita tahu adalah sebahagian pemain-pemain yang tidak ke separuh akhir Piala Malaysia dan kita tahu pemain-pemain juga dalam keadaan keletihan dan kita harapkan mereka datang dengan fikiran yang positif.

“Ada antara mereka yang agak kecewa kerana pasukan mereka tidak dapat ke separuh akhir Piala Malaysia dan selepas berbincang dengan pemain-pemain… pemain kena lupakan komitmen kepada pasukan masing-masing untuk tugasan, di mana pemain kena fokus di Piala AFF nanti,” katanya.

Latihan pusat untuk persediaan ke Piala AFF yang akan dilangsungkan di Singapura dari 5 hingga 1 Januari depan bakal diteruskan dengan kelompok kedua pemain yang akan melapor diri pada Ahad (28 November) disusuli kelompok ketiga pada 1 Disember.

Manakala kelompok pemain yang berpangkalan di luar negara pula akan terus menyertai pasukan di Singapura dengan membabitkan empat tonggak iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin dan Dion Cools.

sumber:- HM

Ujar Cheng Hoe lagi, pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar memohon pengecualian dan hanya akan mula melapor diri pada Rabu ini kerana perlu menguruskan hal keluarga selepas menerima kelahiran anak keduanya baru-baru ini.