Sukan

Saham Quentin Cheng makin meningkat

“Selamat Hari Jadi yang ke-22 Quentin Cheng,” tulis Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam laman Instagram rasmi badan induk bola sepak negara itu hari ini.

Siapa sebenarnya Quentin atau nama penuhnya Quentin Cheng Jiun-ho yang lahir pada 20 November 1999 di Australia dan beraksi kali pertama buat skuad B-23 negara pada temasya Sukan Sea Manila 2019.

Nama pertahanan kanan Penang FC yang beraksi secara pinjaman semusim dari Selangor FC II itu kini bermain di bibir peminat yang kagum dengan persembahan bertenaganya bersama pasukan Pulau Mutiara yang menduduki tangga ketiga Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim dan Kedah.

Selepas menjaringkan satu gol ketika temasya Sukan Sea di Manila pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan men3ntang Kemboja (Malaysia kalah 1-3), Quentin tampil kali pertama bersama skuad Harimau Malaysia pada aksi persahabatan antarabangsa men3ntang Jordan (kalah 0-4) di Amman pada 6 Oktober lalu.

“Penampilan antarabangsa senior pertama buat @famalaysia. Satu malam yang tak mungkin saya lupakan,” tulisnya dalam laman Instagram miliknya. Quentin beraksi selama 19 minit apabila masuk menggantikan Faisal Halim pada minit ke-71.

Selepas itu bersama skuad kendalian Brad Maloney, Quentin membantu Malaysia layak ke pusingan akhir Kejohanan B-23 Asia di Uzbekistan tahun depan apabila pasukan negara melakar dua kemenangan dan satu seri untuk menjuarai kumpulan yang turut disertai Thailand, Laos dan tuan rumah Mongolia.

Quentin menjadi pemain warisan negara kerana bapanya Ken berasal dari Johor manakala ibunya Michelle berasal dari Ipoh, Perak. Ibu bapanya menetap di Australia ketika mereka masih muda, apabila mereka berusia 17 atau 18 tahun ketika itu menuntut di sebuah universiti di Adelaide.

“Saya pernah berkunjung ke Malaysia beberapa kali ketika saya kecil untuk bertemu nenek dan ibu saudara saya sambil bercuti,” katanya dalam satu temu ramah baru-baru ini.

Dua tahun lalu, ketika pertengahan musim 2019 dan beraksi dengan kelab Sutherland Sharks, perkembangannya dipantau Maloney yang ketika itu menjadi pembantu Datuk Ong Kim Swee bagi skuad B-23 negara.

Brad menelefon saya tanpa disangka-sangka, ia nyata mengejutkan saya. Saya tidak tahu menahu langsung mengenai ada minat terhadap saya di Malaysia! Brad memberitahu beliau mengetahui mengenai perkembangan saya menerusi media sosial, melalui hantaran yang dibuat abang saya.

Beliau mencari saya menerusi carian Google dan menyatakan mungkin saya boleh beraksi buat pasukan B-23 negara ke Sukan Sea. Saya beritahu ibu dan bapa dan mereka juga terkejut, tapi mereka amat gembira dan menyokong keputusan saya.

“Sukar pada mulanya kerana saya tidak boleh berbahasa Melayu, tapi setiap orang menerima baik dan faham saya sebagai orang baharu. Jadi saya tidak berasa terpinggir,” katanya yang menyertai Selangor FC II selepas Sukan Sea.

sumber:- HM

Kini Quentin berpeluang menambah penampilan satu aksi antarabangsa bersama skuad senior apabila dia disenaraikan dalam skuad 28 pemain kendalian Tan Cheng Hoe bagi latihan pusat menghadapi Piala AFF di Singapura bermula 5 Disember ini.