Sukan

Otai – Otai perkuat pasukan Kebangsaan

Sekalipun dikritik hebat oleh penyokong, ‘Harimau Import’, Guilherme de Paula tetap menjadi sandaran skuad kebangsaan untuk mengharungi saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura, bulan depan.

Ini selepas pemain berusia 35 tahun turut disenaraikan dalam 28 pemain yang akan dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan yang akan bermula, Isnin ini.

Pemain kelahiran Brazil itu menyertai enam lagi rakan sepasukannya di Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut dipanggil kali ini antaranya kapten skuad negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Shahrul Saad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad dan seorang lagi pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

Kelibat beberapa pemain berpengalaman seperti Rizal Ghazali, Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat dan Khairulazhan Khalid turut menjadi pertaruhan untuk dibawa menghadapi ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu.

Bukan setakat pemain ‘otai’ namun barisan kejurulatihan memberi kepercayaan kepada beberapa pemain muda seperti Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Quentin Cheng dan Azri Ghani yang masih lagi segar dengan kejayaan membawa skuad Bawah 22 tahun negara (B-22) ke pusingan akhir Piala AFC B-23, tahun depan.

Selain Luqman, tiga pemain berpangkalan di luar negara dipanggil untuk memperkasa skuad kebangsaan iaitu Junior Eldstal dan Dominic Tan yang masing-masing beraksi di Thailand serta pertahanan FC Midtjylland, Dion Cools.

Mengulas mengenai pemilihan pemain, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui berpuas hati dengan barisan pemain yang bakal diberi kepercayaan dalam misi untuk menakluk saingan rantau itu.

Secara keseluruhan, kami rasa skuad ini ada kombinasi yang terbaik dari segi pemain berpengalaman dan juga pemain muda.

Kita memasukkan pemain muda untuk memberi peluang kerana kita tahu mereka ada masa depan yang baik bersama skuad kebangsaan.

“Saya lihat kita mampu memberi tentangan pada kempen Piala AFF kali ini,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai pemain ke Piala AFF Suzuki 2020 di Wisma FAM, hari ini.

Senarai 28 pemain ke kem latihan pusat Piala AFF Suzuki 2020

Aidil Zafuan, Shahrul Saad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad, Guilherme de Paula, Rizal Ghazali, Ariff Farhan Md Isa, Baddrol Bakhtiar, Fayadh Zulkifli, Khairulazhan Khalid, Syahmi Safari, Mukhairi Ajmal Mahadi, Shahrel Fikri Md Fauzi, Akram Mahinan, Kenny Pallraj, Arif Fadzilah Abu Bakar, Faisal Abdul Halim, Darren Lok, R Kogileswaran, Khairul Fahmi Che Mat, Quentin Cheng, Azri Ghani, Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin, Dion Cools

sumber:- BH

Senarai menunggu

Kalamullah Al Hafiz, Rodney Celvin Akwensivie, Hakimi Abdullah