Sukan

Cheng Hoe buka mulut ketiadaan Empat tonggak JDT

Sekali lagi pemain-pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendapat kelonggaran apabila empat pemain utama skuad Harimau Malaya diketepikan pada kempen Piala AFF yang dijadual berlangsung di Singapura bermula 6 Disember ini.

Biarpun masih berjaya menyenaraikan tujuh tonggak JDT dalam senarai 28 pemain yang dipanggil nanti, namun ketiadaan empat tonggak iaitu Farizal Marlias, Corbin Ong, Matthew Davies dan Ariff Aiman nyata mengejutkan pengamal media yang mengikuti sidang media pengumuman senarai itu.

Berdasarkan situasi semasa dalam saingan Piala Malaysia ketika ini, keempat-empat bintang dilihat berada pada prestasi terbaik dan cukup bersedia untuk membantu Malaysia di saingan serantau itu.

Apakah yang berlaku sebenarnya hingga nama mereka tercicir?.

Selaku pemain profesional yang menerima gaji lumayan, mereka seharusnya meletakkan kepentingan negara di tahap tertinggi mengatasi segala-galanya.

Bagaimanapun pengendali negara, Tan Cheng Hoe tampil mempertahankan keputusannya itu apabila menegaskan empat pemain berkenaan cukup keletihan selepas mengharungi musim yang mencabar sepanjang tahun ini.

Saya rasa barisan jurulatih meneliti pelbagai aspek daripada pemain berkenaan, mereka dah jadi tonggak utama skuad kebangsaan yang agak lama juga, dan kita pun tahu kualiti mereka.

Disebabkan mereka menghadapi musim yang agak panjang terutama selepas kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 (di Emiriah Arab Bersatu Jun lalu), mereka tidak ada rehat langsung.

“Mereka juga bermain dalam perlawanan ACL (Liga Juara-Juara Asia, Liga Super dan juga Piala Malaysia‚Ķsudah tentu kita tahu kualiti mereka dan kita beri peluang kepada pemain-pemain lain untuk kita dapatkan kelompok pemain pada Kelayakan Piala Asia nanti, itu sebab pemain-pemain ini tidak disenaraikan,” katanya di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, Ariff Aiman memiliki potensi besar bersama skuad negara namun beliau tidak mahu terlalu menekan pemain sayap itu dengan memilih merehatkan tonggak berusia 19 tahun itu.

Kalau kita lihat Ariff Aiman adalah satu-satunya pemain yang punya potensi, kalau kita lihat dari segi permainan dia sedang meningkat dan sudah tentu pemain-pemain muda ini, kita tidak boleh terlalu banyak menggunakannya yang mungkin akan keletihan dan tak boleh nak perform.

“Kita perlukan dia untuk rehat yang secukupnya dan kalau kita lihat pemain ini sentiasa bermain dalam perlawanan yang kompetitif, dan untuk kempen Kelayakan Piala Asia nanti saya percaya dia akan bersedia,” katanya yang diletakkan sasaran untuk bawa pasukan ke pentas final di Singapura.

Dalam senarai panggilan kali ini, pemain JDT yang juga Pemain Paling Bernilai dalam Liga M iaitu Safawi Rasid kembali memperkuatkan pasukan selepas diketepikan dalam dua aksi persahabatan di Amman, Jordan bulan lalu.

Selain kepulangan semula Safawi ke pangkuan pasukan, Cheng Hoe turut menyenaraikan tonggak kacukan, Dion Cools yang kini beraksi buat kelab Denmark, FC Midtjylland.

sumber: BH

Dalam senarai itu juga, dua kelibat pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan Guilherme De Paula yang sering menjadi bahan kecaman peminat sebelum ini disenaraikan.