Pert3mbungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC menjadi perlawanan yang paling menarik tumpuan pada aksi suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Malah, ia juga boleh dianggap sebagai ulangan final Piala Malaysia 2019 yang menyaksikan skuad Harimau Selatan merangkul kejuaraan ketika itu selepas menundukkan skuad Lang Merah 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Meskipun memiliki rekod baik ke atas Kedah dan berstatus juara bertahan saingan paling berprestij itu, JDT bagaimanapun enggan memandang mudah kemampuan skuad Lang Merah.
Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora menyifatkan Kedah sebagai pasukan yang kuat dan anak buahnya perlu beraksi dengan lebih baik berbanding apa dipamerkan sepanjang aksi peringkat kumpulan.
“Kami sudah biasa berdepan Kedah dan tahu mereka pasukan yang sukar. Sebelum ini kami berdepan mereka dan mendapat keputusan yang baik, tapi kami menghormati mereka.
“Kami hormati semua pasukan lawan dan akan beraksi dengan corak permainan kami di atas padang. Saya tahu dan kami semua tahu Kedah pasukan yang kuat,” katanya selepas aksi berdepan Kelantan, semalam.
Aksi suku akhir Piala Malaysia musim ini yang akan berlangsung secara timbal balik dijadualkan pada 14 dan 18 November ini.
JDT menjadi pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2019 dengan rekod kemenangan bersih diraih skuad Harimau Selatan dalam enam perlawanan peringkat Kumpulan D.
Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak pula mengharapkan anak buahnya bangkit dari kekalahan 0-2 di tangan Melaka United FC dalam aksi terakhir Kumpulan C, semalam apabila berdepan JDT nanti.
Malah, dia berkata pasukannya akan melakukan persiapan seperti biasa sambil mengakui JDT memiliki banyak kelebihan berbanding skuad bimbingannya.
“Kita tahu JDT pasukan besar, mempunyai ramai pemain yang bagus. Tapi dalam bola sepak adalah mengenai kerja keras, harap kami boleh bangkit semula.
sumber:- BH
“Saya percaya kepada pemain saya dan berharap dengan kekalahan ini (berdepan Melaka United) dapat membolehkan kami bangkit dengan lebih baik pada perlawanan selepas ini,” katanya.