Kedah Darul Aman (KDA) atau Melaka United yang perlu berdepan ‘abang besar’, Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir Piala Malaysia?
Persoalan itu hanya akan terjawab selepas aksi 90 minit antara Kedah dan Melaka di Stadium Hang Jebat, malam ini dengan pasukan yang kalah akan memasuki ‘kandang’ melawan Harimau Selatan.
Sukar untuk meramal sama ada Kedah atau Melaka yang akan ‘lari’ dari JDT kerana kedua-duanya memiliki kekuatan tersendiri selain menjadi antara pasukan pilihan dalam saingan musim ini.
Jika dilihat daripada prestasi dan rekod pertemuan dalam Piala Malaysia musim ini, segalanya tampak memihak Melaka yang turut mendapat kelebihan beraksi di laman sendiri.
Skuad Zainal Abidin Hassan juga memiliki kelebihan dari segi tempoh rehat kerana mereka diberikan kemenangan percuma berdepan Negeri Sembilan, berbanding Kedah yang baru sahaja mengeluarkan peluh sebelum mengatasi Kelantan United 3-1, Sabtu lalu.
Malah, berdasarkan kedudukan semasa dalam Kumpulan C, tugas lebih mudah buat skuad Hang Tuah juga apabila mereka hanya memerlukan keputusan seri berdepan Kedah untuk bergelar juara kumpulan dan terlepas pertemuan dengan JDT yang juga juara bertahan Piala Malaysia.
Namun, harus diingat bahawa Kedah juga bukan calang-calang pasukan yang mudah untuk dijinakkan dengan pengendalinya, Aidil Sharin Sahak menegaskan kejayaan menundukkan Kelantan United menjadi semangat tambahan yang akan dibawa ke Melaka.
Justeru, Stadium Hang Jebat bakal menjadi saksi sama ada percaturan Aidil atau Zainal yang akan membuahkan hasil dan menentukan laluan mereka di pusingan kalah mati.
Sementara itu, pertembungan antara Sabah dan PJ City di Stadium Likas bagi Kumpulan D juga tidak kurang sengitnya dengan kedua-dua pasukan itu kini bertarung merebut slot terakhir ke suku akhir Piala Malaysia.
Peluang seimbang dimiliki kedua-dua pasukan itu dengan Sabah bakal mendapat semangat daripada ‘pemain ke-12’ mereka, manakala PJ City pula hanya perlu mengelak daripada kekalahan untuk lolos ke suku akhir.
sumber:- BH
Satu lagi pertembungan Kumpulan D membabitkan Kelantan FC dan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV dengan aksi itu hanya dianggap sebagai pelengkap jadual kerana The Red Warriors (TRW) sudah tersingkir dari saingan, manakala Harimau Selatan pula sudah sah bergelar juara kumpulan dan layak ke suku akhir.