Sukan

Kesian 90 minit tanpa air

Penyokong Liga Malaysia (Liga M) merayu supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan aktiviti minum air di dalam stadium ketika menyaksikan perlawanan.

Ia susulan penyokong yang digelar pemain ke-12 mengakui kehausan berada di dalam stadium selepas bersorak sepanjang menyaksikan perlawanan Piala Malaysia yang berlangsung lebih 90 minit.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid menjelaskan penyokong tiada masalah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lain, cuma mengharapkan penyokong dibenarkan meneguk air di dalam stadium.

Katanya, penyokong bersedia sekiranya hanya minuman yang dibungkus dari luar boleh dibawa masuk ke stadium kerana sedar aktiviti menjual minuman di dalam stadium sememangnya tidak sesuai dibenarkan buat masa ini.

“Syukur sebab golongan muda bawah 18 tahun (yang lengkap vaksinasi) sudah dibenarkan ke stadium kerana mereka pun teringin nak tengok bola. Alhamdulillah, sebab itu satu langkah yang baik.

“Cuma berilah kelonggaran sedikit untuk penyokong sekurang-kurangnya dibenar membawa masuk minuman ke stadium. Harap MKN mendengar luahan daripada penyokong.

“Memang dahaga dan tekak kering. Kita juga kena basahkan tekak dan paru-paru dengan air untuk kesihatan serta supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada BH Sukan.

Kelmarin, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan kebenaran kemasukan remaja berusia bawah 18 tahun yang sudah lengkap vaksinasi ke stadium berkuat kuasa Isnin ini, namun aktiviti makan dan minum di dalam stadium masih tidak dibenarkan.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Safarizal Mohd Sobri turut senada dengan Faizal sambil mengakui dia pernah melalui pengalaman perit tidak minum sepanjang 90 minit menyaksikan perlawanan.

“Kalau kita nak benarkan orang jual minuman dalam stadium, mungkin SOP takkan boleh dikawal. Jadi, kita minta MKN benarkan minuman dibawa masuk oleh penyokong.

Sumber : BH

“Bayangkan 90 minit bersorak tanpa air, kalau tak makan tak apa lagi. Harap boleh benarkan penyokong bawa air tanpa penutup yang mana tak ada risiko kita boleh baling objek ke dalam padang kerana air botol mineral memang tidak dibenarkan dari dulu lagi,” katanya.