“Kita bukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) ataupun Terengganu FC (TFC)!”
Demikian penjelasan pengendali Penang FC, Tomas Trucha selepas menyaksikan impian mereka untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia hampir tertutup susulan kekalahan besar 5-0 di tangan Sri Pahang FC, semalam.
Tampil selaku pasukan pilihan dengan reputasi sebagai pasukan ketiga Liga Super, skuad Harimau Kumbang gagal meneruskan rentak apabila tewas tiga daripada empat aksi peringkat kumpulan setakat ini.
Bagaimanapun, Trucha sudah ‘meramalkan’ situasi itu sebelum bertarung dalam Piala Malaysia dan keadaan lebih malang apabila mereka kehilangan pemain tonggak akibat kec3deraan dan tugasan antarabangsa.
“Saya sudah katakan sebelum Piala Malaysia bermula bahawa kita tidak berada dalam posisi untuk bersaing dalam dua atau tiga pertandingan. Kita tiada pasukan seperti JDT, KDA ataupun TFC yang mempunyai barisan simpanan seimbang dan boleh beraksi dalam banyak pertandingan.
“Saya faham pemain mungkin akan marah atau kecewa dengan keputusan ini tetapi mereka perlu faham situasi pasukan. Saya harap penyokong dapat memberi kredit dengan apa yang sudah dicapai oleh pasukan sebelum ini (dalam Liga Super).
“Ada enam mata lagi dan kalau kita masih ada peluang (ke suku akhir), kita akan cuba sebaik mungkin,” katanya.
Terdahulu, Penang FC sekali lagi dibelasah Sri Pahang FC 5-0 di laman sendiri, hanya lima hari selepas mereka dibenam lawan sama 4-0 di Stadium Darul Makmur sekali gus kekal di tangga tercorot Kumpulan A dengan satu mata.
Mengulas lanjut situasi pasukan, Trucha mengakui kehilangan sebahagian besar tonggak menyaksikan mereka bergelut untuk memperagakan aksi terbaik seperti yang dilakukan dalam saingan Liga Super sebelum ini.
“Kalau kita setakat hilang satu atau dua pemain, ia masih boleh diganti tetapi kalau kita hilang hampir separuh pemain utama, semua pasukan di dunia pun akan berdepan masalah.
sumber:- HM
“Tetapi pemain yang diturunkan sudah menunjukkan persembahan yang terbaik dan seperti yang dikatakan sebelum ini, fokus saya adalah untuk persiapan musim depan,” katanya.