Sukan

Dollah sudah beri amaran

Pengendali Sri Pahang FC (SPFC), Dollah Salleh mengakui dia masih lagi ‘berpeluh’ sekalipun menyaksikan anak buahnya mudah mendahului Penang FC 3-0 hanya selepas 35 minit perlawanan berlangsung, malam tadi.

Tegas bekas jurulatih skuad kebangsaan itu, dia tetap memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak memandang ringan keupayaan lawan sekalipun dilihat sudah ‘membvnuh’ skuad Harimau Kumbang pada kedudukan 3-0 itu.

“Memang saya berpuas hati dengan persembahan pemain cuma selepas kita dahului 3-0, saya tekankan bahawa tidak boleh bermain secara lewa kerana kita pasti kalau Penang FC dapat jaringkan gol pada babak kedua, kita akan hadapi masalah.

“Alhamdulillah kita berjaya menyekat situasi itu dan kita dapat jaringkan gol lagi. Ketika 3-0 itu, saya masih tak senang duduk kerana agak risau juga. Jadi selepas gol keempat itu, saya rasa selesa sedikit,” katanya.

Terdahulu, skuad Tok Gajah terus ‘naik minyak’ apabila membelasah Penang FC 5-0, hanya lima hari selepas mereka membenam lawan sama 4-0 di Stadium Darul Makmur.

Sekalipun bermula perlahan namun tiga mata itu terus menghidupkan peluang untuk mereka mencuri slot ke suku akhir dengan enam mata lagi boleh dikutip daripada baki dua perlawanan selepas ini.

Dalam masa sama, Dollah turut gembira apabila menyaksikan pemain importnya, Kenny Athiu meledak hatrik pada aksi terbabit selain ‘resipinya’ yang menjadi menerusi kombinasi Abdul Malik Mat Ariff dan penyerang terbabit.

“Saya memang tahu mengenai kemampuan Kenny cuma dia nampak masih lagi menyimpan kekuatannya. Ketika lawan Penang FC sebelum ini pun, dia sudah tunjukkan apa yang dia ada walaupun tidak menjaringkan gol.

sumber:- BH

“Hari ini (semalam), tak sangka dia dapat melepaskan apa yang diidamkan sehingga mencetak hatrik. Dia juga semakin serasi bergandingan dengan Malik,” katanya.