Sukan

Sri Pahang FC sekali lagi makan besar

Sri Pahang FC menghidupkan peluang untuk ke suku akhir Piala Malaysia selepas memb3lasah Penang FC 5-0 di Stadium Bandaraya, George Town sebentar tadi.

Hatrik Kenny Athiu selain masing-masing satu gol daripada Abubakar Yakubu dan Abdul Malik Mat Arif memastikan pasukan Tok Gajah itu kini mengumpulkan enam mata daripada empat perlawanan.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu membuka jaringan seawal minit ke-11 apabila Athiu melepaskan rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Penang, Bryan See.

Berselang 10 minit, giliran Yakubu menggandakan kelebihan Sri Pahang, juga menerusi rembatan jarak jauh dari luar kawasan penalti.
Sri Pahang kian selesa menjelang ke bilik persalinan apabila Athiu memperoleh jaringan kedua peribadinya dengan menanduk masuk lintangan Manuel Hidalgo pada minit ke-35.

Tiada sebarang petanda untuk Tok Gajah mengendurkan asakan dalam babak kedua dan mereka memperoleh gol keempat pada minit ke-58 menerusi penyudah Abdul Malik susulan lambungan awal Faisal Rosli.

Athiu kemudian memastikan bola perlawanan itu menjadi miliknya sebaik melengkapkan hatrik pada lapan minit terakhir menerusi gerakan solo cantik dari dalam kawasan penalti lawan.

sumber:- astroarena

Enam mata yang dikumpulkan Sri Pahang itu menyaksikan mereka kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Sarawak United dan dua mata di belakang Kuala Lumpur City FC selepas kedua-dua pasukan teratas Kumpulan A itu terikat 2-2 dalam satu lagi perlawanan di Larkin.