Sukan

Rekod Bojan Hodak bukti beliau jurulatih paling cemerlang

Jika anda mengikut rapat saingan liga Malaysia sepanjang 10-15 tahun lalu, sudah pasti anda cukup kenal dengan figura jurulatih Bojan Hodak, seorang yang tegas dan garang di tepi padang!

Bojan datang ke Malaysia menerusi pasukan yang di bentuk dari program realiti bola sepak My-Team. Di sana, dia berjaya mencungkil bakat beberapa pemain muda sehingga ke peringkat mewakili skuad senior kebangsaan.

Tahun 2012, dia kembali dengan membimbing pasukan Kelantan. Bojan meneruskan tsunami The Red Warriors dalam kancah Liga Malaysia selepas membawa skuad itu memenangi treble pada musim pertamanya. Juara liga, Piala FA dan kemudiannya Piala Malaysia dengan menewaskan ATM di Stadium Shah Alam.

Bojan juga yang menjadi jurulatih yang membawa kejayaan JDT menjulang Liga Super pada tahun 2014 buat kali pertama sehinggalah legasi itu diteruskan untuk 8 musim berturut-turut.

Jadi, apabila dia kembali ke Liga Malaysia bersama KL City musim ini, sudah pasti ada rekod yang dia akan abadikan bersama kelab. Kelab Kuala Lumpur dari dulu, bukanlah pasukan yang sinonim dengan kancah Liga Super. Kerap turun naik divisyen dan tidak pernah mengakhiri saingan Liga Super dalam kelompok 8 pasukan terbaik. Namun, Bojan hadir untuk mencipta rekod yang cukup menakjubkan.

KL City berjaya menamatkan saingan di tangga ke-6 liga, satu pencapaian terbaik dalam sejarah kelab. Lebih menakjubkan, Bojan turut mencipta rekod tanpa kalah di laman sendiri sepanjang saingan liga berlangsung musim ini. 7 kemenangan dan 4 seri dengan perlawanan terakhir di Cheras, skuad warga kota berjaya menewaskan Kedah 2-1.

Walaupun beraksi hampir keseluruhan musim tanpa penyerang tulen yang mengalami kecederaan, Bojan mengangkat Paulo Josue menjadi nadi utama pasukan,dan kapten itu cemerlang menyumbang 9 gol dan 4 bantuan jaringan sepanjang saingan liga.

Kini dengan saingan Liga Malaysia melepasi 3 perlawanan, Bojan memecahkan rekod kelab sekali lagi!Kemenangan besar ke atas Sarawak United memastikan KL City kini mendahului saingan kumpulan A.

Menurut penulis Sportimes, Devinder Singh, KL City kini tanpa kalah dalam 18 perlawanan di laman sendiri, memecahkan rekod 17 perlawanan yang dipegang skuad Fandi Ahmad pada era 80an. 2 gol dari Romel Morales, seorang lagi pemain s3rangan yang melalui transformasi Bojan Hodak, kini selesa mendahului carta penjaring Piala Malaysia dengan 5 gol daripada 3 perlawanan. Malah ini juga merupakan penampilan ke-100 Romel dalam kancah liga Malaysia.

Rekod demi rekod yang dipecahkannya musim ini bukan sekadar nasib, tetapi membuktikan yang Bojan cukup arif dengan selok belok saingan Liga Malaysia. Campuran pemain dalam skuad ketika ini berjaya diadun dengan cukup baik oleh Bojan yang dibantu Nenad Becina dan Rosle Md Derus. Apa seterusnya buat Bojan dan KL City? Jangan terkejut andai Bojan mampu mengembalikan zaman kegemilangan Kuala Lumpur dan seterusnya mendakap trofi bersama skuad warga kota ini.

sumber:- astro arena

Lebih istimewa, segala rekod dan perjalanan menakjubkan KL City musim ini akan diabadikan dalam siri dokumentari yang bakal diterbikan Astro Arena. Segala momen di padang latihan dan bilik persalinan akan disajikan kepada peminat bola sepak negara. Bila bersiaran? Nantikan pengumumannya di platform media sosial Astro Arena.