Kemboja bakal menjadi halangan pertama buat Malaysia pada aksi Piala Suzuki AFF 2020 yang akan berlangsung di Singapura pada bulan depan.
Mengikut jadual yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), skuad Harimau Malaya akan membuka kempen peringkat kumpulan berdepan pasukan di ranking ke-170 dunia itu di Stadium Bishan pada 6 Disember.
Berdasarkan kedudukan ranking, anak buah Cheng Hoe seharusnya tidak berdepan masalah untuk mengutip enam mata pertama apabila mereka akan men3ntang Laos (ranking ke-185) pada aksi kedua di venue sama, tiga hari berselang.
Namun, ujian sebenar menanti skuad negara pada aksi ketiga apabila bakal berdepan juara bertahan, Vietnam di Stadium Bishan pada 12 Disember dalam aksi yang mungkin menjadi penentu siapa bakal menjadi juara Kumpulan B.
Seterusnya, Malaysia akan menutup kempen peringkat kumpulan berdepan seteru tradisi, Indonesia di Stadium Nasional pada 19 Disember. Perlawanan separuh akhir pertama akan berlangsung pada 22 dan 23 Disember disusuli separuh akhir kedua pada 25 dan 26 Disember.
Sekiranya Malaysia berjaya mengesahkan tempat ke final, mereka akan berentap dalam final pertama pada 29 Disember sebelum melengkapkan final kedua pada 1 Januari.
Semua perlawanan separuh akhir dan final akan dilangsungkan di Stdium Nasional, Singapura.
sumber:- BH
Sebagai rekod, skuad negara muncul naib juara edisi 2018 selepas dikecewakan skuad Naga Emas 3-2 menerusi agregat, sekali gus membolehkan Vietnam merangkul kejuaraan ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu buat kali kedua.