Sukan

Itu yang berlaku sepanjang 13 minit pertama

Pemain Sabah FC dilihat terlalu ‘menghormati’ Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga melakukan kesilapan mudah sekali gus tewas 2-0 dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Itu yang berlaku sepanjang 13 minit pertama perlawanan yang menyaksikan pemain skuad Harimau Selatan merembat dua gol, masing-masing pada minit keempat dan ke-13 menerusi Hazwan Bakri dan pemain importnya, Gonzalo Cabrera.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata dua gol awal JDT itu memberi tamparan hebat kepada pasukan bimbingannya kerana mereka sudah ketinggalan 2-0 pada separuh masa.

Katanya, dengan kedudukan itu, ia menyukarkan pemain skuad Sang Badak untuk kembali bangkit menyaingi pasukan pelawat itu.

Apa yang berlaku dalam tempoh 15 minit pertama di mana kita terlampau menghormati pasukan JDT.

“Ini menyebabkan kita melakukan kesilapan dan dua gol yang dibolosi itu adalah tamparan yang cukup hebat di mana untuk kita kembali apabila ketinggalan 2-0 bersama pasukan yang cukup baik, amat menyukarkan,” katanya selepas perlawanan.

Kim Swee berkata, corak permainan anak buahnya bertambah baik pada separuh masa kedua dan masing-masing menunjukkan semangat juang yang tinggi, namun buntu mencipta jaringan hingga ke wisel penamat.

Katanya, beberapa peluang untuk menjaringkan gol juga berjaya dihasilkan sekali gus menunjukkan keupayaan pasukan memantapkan gerakan terutama dalam kalangan pemain berpengalaman seperti N Thanabalan dan Amri Yahyah.

Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora berpuas hati dengan kemenangan itu bagi mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan berkenaan dalam tiga perlawanan setakat ini.

sumber:- BH

Selepas perlawanan itu, JDT terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju Kumpulan D dengan sembilan mata, diikuti PJ City FC di kedudukan kedua (4 mata) manakala Sabah di tangga ketiga (dua mata) dan Kelantan FC (satu mata)