Sukan

Cabaran sebenar baru tiba

Selepas selesai dua tugasan dengan meraih kemenangan, ujian sebenar buat pengendali skuadbawah 23 (B-23) tahun, Brad Maloney bakal hadir Ahad ini apabila berdepan Thailand dalam aksi untuk merebut juara Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022 sekali gus layak ke pusingan akhir di Uzbekistan secara automatik.

Walaupun sudah mengesahkan kedudukan sekurang-kurangnya sebagai naib juara kumpulan, Maloney sudah pasti tidak mahu mengambil jalan sukar dan menanti keputusan aksi lain bagi membolehkan anak buahnya layak selaku antara empat pasukan kedua terbaik yang turut menawarkan tempat ke kejohanan itu.

Berbekalkan empat pemain berpangkalan di Eropah dan kemenangan 3-0 ke atas Laos semalam, Thailand sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah kepada skuad muda negara serta mahu mengulangi aksi sama ketika kelayakan 2018 apabila mereka berjaya membenam Malaysia 3-0.

Menurut Maloney, dalam saingan di Ulaanbaatar mereka hanya fokus satu demi satu perlawanan dan tidak memikirkan mengenai Thailand ketika menumpaskan Mongolia 1-0 semalam.

“Kita sudah memantau permainan Thailand sejak aksi pertama dan kedua mereka. Mereka mempunyai pemain memiliki teknikal yang bagus terutama dari segi teknikal dan kepantasan,” kata pengendali kelahiran Australia itu.

Selain itu, beliau juga mengakui bakal menerima tentangan sengit selepas pasukan bimbingan Worrawoot Srimaka itu memiliki beberapa pemain berpangkalan di Eropah termasuk Jonathan Khemdee yang beraksi bersama kelab Denmark, Odense Boldklub. Khemdee turun dalam kesebelasan utama untuk dua perlawanan sebelum ini termasuk ketika seri 1-1 berdepan tuan rumah, Mongolia dan mengalahkan Laos 3-0 semalam. “Mereka mempunyai pemain berpangkalan di Eropah, saya menjangkakan satu perlawanan yang sukar,” kata Maloney yang mengakui Malaysia patut mencari kemenangan jaringan lebih besar ketika menumpaskan Mongolia 1-0 semalam.

Selain Khemdee, Thailand memiliki seorang lagi pertahanan yang berpangkalan di Eropah Owen Charlie Booapit yang mewakili kelab Belgium, Thes Sport namun setakat dua perlawanan dia masih belum diturunkan.

Bagaimanapun, tumpuan harus diberikan lebih kepada ketua pasukan, Thanawat Suengchitthawon yang berpangkalan di England dengan mewakili pasukan Leicester City. Suengchitthawon berjaya mencetak nama sebagai penjaring dalam aksi semalam selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-41.

sumber:- HM

Seorang lagi pemain Thailand yang berpangkalan di England, iaitu bersama Oxford City ialah Ben Davies namun dia hanya diturunkan dalam aksi pertama.