Sukan

Skuad Bawah 22 tahun negara mula langkah kanan

Skuad Bawah 22 tahun negara (B-22) menunaikan janji untuk memberikan berita gembira kepada penyokong Malaysia apabila menang 1-0 ke atas Laos pada aksi pembukaan kempen kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, sebentar tadi.

Namun, anak buah Brad Maloney dipaksa ‘berpeluh’ apabila Laos membuktikan mereka sememangnya pasukan yang liat untuk ditewaskan selepas berjaya membuatkan Malaysia bergelut untuk mendapatkan gol.

Apapun, kemenangan tipis di Stadium MFF, Ulaanbaatar itu sudah cukup untuk skuad negara memimpin Kumpulan J dengan tiga mata selepas aksi pertama antara Thailand dan Mongolia berakhir dengan keputusan 1-1.

Pada aksi terbabit, corak permainan keras dan disiplin bertahan yang baik ditunjukkan Laos untuk menyekat kemaraan Malaysia sekalipun barisan pemain negara menguasai sebahagian besar permainan.

Malaysia tampak mendapat rentak selepas 20 minit namun Laos berjaya menutup ruang setiap kali Malaysia cuba merencana gerakan untuk memasuki kawasan penalti mereka.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-36 menerusi percubaan Luqman Hakim Shamsudin yang diselamatkan Solasak Thilavong namun percubaan susulan Azam Azmi Murad gagal menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus berusaha keras namun keampuhan benteng Laos membuatkan Malaysia buntu untuk mendapatkan gol.

Bagaimanapun, Azfar Fikri bijak menghidu hantaran lintang Quentin Cheng daripada sebelah sayap kanan dan penyudahnya dari dalam kotak penalti berjaya menewaskan Thilavong pada minit ke-68.

Selepas ini, Malaysia akan berdepan tuan rumah, Mongolia manakala Laos pula akan membuat perhitungan dengan Thailand, Khamis ini.

Sementara itu, perlawanan antara Thailand dan Mongolia yang berlangsung lebih awal menyaksikan kedua dua pasukan terpaksa akur berkongsi satu mata.

sumber:- BH

Jakkit Palapon memberikan gol pendahuluan buat Thailand pada minit ke-11 sebelum Baljinnyam Batbold mengikat kedudukan buat Mongolia pada minit ke-75.