Sukan

Liverpool hantar penyokong United masuk ‘gua’

Ole Gunnar Solskjaer mengharungi detik paling hitam sebagai pengendali Manchester United selepas hatrik Mohamed Salah memberikan Liverpool kemenangan 5-0 ke atas pasukan kendaliannya di Old Trafford.

10 tahun selepas kemenangan 6-1 Manchester City di Old Trafford, Liverpool pula menghadiahkan kekalahan paling memalukan buat United.

Ia adalah kemenangan paling besar Liverpool ke atas United sejak tahun 1925 dan meletakkan mereka tujuh mata di depan skuad kendalian Solskjaer dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris.

Liverpool di tangga kedua hanya satu mata di belakang Chelsea dalam pembvruan kejuaraan – impian yang tampak semakin tercicir daripada genggaman Solskjaer selepas kekalahan berkenaan.

“Ia bukan mudah untuk berkata sesuatu selain hari paling hitam sepanjang saya membimbing pemain-pemain ini. Anda boleh lihat ketika kami tewas 6-1 kepada Spurs musim lalu, tetapi ini lebih buruk buat saya sebagai pengendali Manchester,” kata Solskjaer.

Sebagai isyarat kepada kegagalan United di bawah bimbingan Solskjaer, ribuan penyokong tuan rumah meninggalkan Old Trafford ketika babak kedua permainan sedang berlangsung.

Tekanan ke atas Solskjaer dijangka terus meningkat selepas ini dengan masa depan pengendali dari Norway itu di Old Trafford semakin pudar.

Sementara itu pengendali Liverpool Jurgen Klopp menganggap kemenangan besar ke atas United itu dapat memadamkan beberapa siri kekalahan yang tidak sepatutnya mereka alami.

5-0, saya amat gembira, ia luar biasa. Cukup menakjubkan. Saya mempunyai beberapa kekalahan dalam fikiran yang tidak sepatutnya berlaku tetapi kami menang hari ini dan ia perlu diraikan.

Keputusan ini tidak masuk akal, saya tanya jika ia pernah berlaku dalam sejarah dan jika tiada, ia akan bertahan agak lama.

“Pemain-pemain memberi persembahan hebat. Ia amat istimewa tetapi kami tidak akan meraikannya dengan melampau,” kata Klopp. – AFP