Sukan

Kapten Yang rendah diri

Kapten skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi enggan mendabik dada biarpun memperagakan persembahan terpuji ketika mewakili Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan antarabangsa di Jordan baru-baru ini.

Walaupun menimba pengalaman berguna ketika menentang Jordan dan Uzbekistan dalam perlawanan itu, Muhammad Mukhairi mengakui masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaikinya untuk terus beraksi cemerlang terutamanya ketika memimpin skuad B-22 pada pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022, di Mongolia bermula 25 hingga 31 Oktober ini.

“Saya bangga dipilih menjadi kapten pasukan kali ini namun saya akan berusaha lagi kerana tidak berasa selesa dengan pengalaman di Jordan… Insya-Allah saya akan cuba perbaiki diri lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tonggak tengah Selangor FC itu memaklumkan banyak aspek dipelajarinya ketika diberi minit permainan oleh ketua jurulatih skuad senior, Tan Cheng Hoe di Jordan khususnya dalam meneliti corak permainan pantas Jordan dan Uzbekistan.

Dalam pada itu, Muhammad Mukhairi tidak menafikan tekanan sememangnya wujud dalam dirinya apabila mendapat kepercayaan jurulatihnya, Brad Maloney untuk mengepalai skuad muda kebangsaan pada saingan kelayakan berkenaan.

Pemain berusia 20 tahun itu pada masa sama berharap dapat memberi persembahan terbaik di Mongolia dalam usaha menarik perhatian Cheng Hoe untuk menyenaraikannya dalam barisan akhir Piala AFF Suzuki di Singapura, Disember ini.

Sementara itu, Brad berkata pemilihan Muhammad Mukhairi sebagai kapten pasukan adalah tepat kerana beliau memenuhi semua kriteria yang diperlukan untuk mengetuai anak buahnya di padang.

“Beliau ketua dan pemain yang bagus…beliau mengatur orang di sekelilingnya dengan baik…beliau juga pernah beraksi dengan pasukan senior dan bagi saya beliau memenuhi semua keperluan,” katanya.

Pada kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan J bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand, dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar.

Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun.

– BERNAMA