Sukan

Jumlah terhad di tetapkan

Hanya seramai 6,348 penyokong dibenarkan masuk ke Stadium Likas bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 29 Oktober ini.

Jumlah itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Jawatankuasa Pintu dan Tiket, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata tiket akan dijual kepada orang awam secara dalam talian bermula jam 6.40 petang Sabtu ini.

Harga bagi tiket tempat duduk terbuka di Zon A dan D ialah RM18, manakala RM22 bagi Zon B dan C. Harga tiket untuk tempat duduk di ‘grandstand’ pula RM35.

Bagaimanapun, hanya penyokong atau penonton yang sudah lengkap divaks!nasi melebihi 14 hari dibenarkan masuk ke stadium.

“Selain itu, penonton juga wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan dan tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Shamsuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi SAFA berkata, kanak-kanak berumur bawah 18 tahun tidak dibenarkan masuk ke stadium seperti ditetapkan dalam SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Katanya, garis panduan itu penting dan perlu dipatuhi bagi memastikan semua pihak bersama-sama menjaga SOP untuk mengelak jangk!tan C0VID-19 dan sebarang insiden yang tidak diingini.

Shamsuddin juga menasihatkan penonton supaya mengehadkan pergerakan dan sentiasa di tempat duduk masing-masing mengikut penjarakan fizikal sepanjang berada di stadium.

Penonton juga dilarang berhimpun atau menunggu pemain di luar perkarangan stadium dan digalakkan meninggalkan stadium serta-merta dengan bersistematik sejurus tamat perlawanan.

sumber:- BH

“Penonton juga digalakkan masuk ke dalam stadium seawal jam 6.30 petang bagi mengelakkan kesesakan di pintu masuk,” katanya.