Sukan

Jangan jadikan alasan

Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara tidak boleh menjadikan alasan cuaca yang terlampau sejuk sebagai alasan untuk tidak memberikan yang terbaik pada aksi Kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia yang akan bermula 25 Oktober ini.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, alasan sebegitu sememangnya tidak boleh diterima dan menyifatkan kenyataan pengendali B-22, Brad Maloney yang melihat cuaca sebagai cabaran besar buat pasukannya di Mongolia boleh melunturkan keyakinan para pemain.

Tiap-tiap kali nak pergi pertandingan atau kejohanan mesti ada alasan-alasan sebegini seperti cuaca, pasukan baharu dan sebagainya. Tak bolehlah macam itu dan sepatutnya kalau dah menyertai pertandingan antarabangsa ini pasukan sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

Sebelum main dah kata cuaca sebagai cabaran besar, bagi saya kalau dah kata macam tu, kita tak payahlah pergi bertanding. Kenyataan sebegitu umpama kita pergi ke sana hanya untuk melengkapkan jadual.

“Saya dah bosan dengar kenyataan cuaca sebagai cabaran ini. Sudah 30 tahun saya dengar alasan macam ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Skuad muda negara dijangka akan berdepan cvaca sejuk di Mongolia yang boleh mencecah sehingga -12 darjah celcius pada waktu malam dan sembilan darjah celcius pada waktu siang.

Sebelum ini juga, Maloney mengakui cuaca sejuk itu akan menjadi cabaran besar buat pasukan kendaliannya namun optimis para pemainnya akan mampu menyesuaikan diri dengan cepat di negara tersebut.

Pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2022, Malaysia diundi bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand dalam Kumpulan J dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar dari 25 hingga 31 Oktober ini.

Dalam pada itu, Khalid juga percaya skuad negara perlu untuk berusaha layak ke peringkat akhir Piala Asia walaupun sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menghantar skuad B-20 ke Mongolia sebagai persediaan untuk menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Sepatutnya pasukan ini meletakkan sasaran untuk layak ke pusingan seterusnya. Ini bukannya masa untuk cari pengalaman dan sebagainya lagi tetapi kita perlu berikan yang terbaik dan cuba layak ke pusingan seterusnya.

sumber:- SH

“Para pemain kena beri kepercayaan kepada diri sendiri dan bermain sebagai satu pasukan. Saya percaya jika para pemain percaya kepada diri sendiri dan bermain dengan baik, maka kita boleh layak,” katanya.