Sukan

Ketiadaan pemain Utama satu hikmah

Ketiadaan beberapa pemain utama yang memilih untuk berhijrah di pertengahan musim memberikan hikmah kepada bakat muda Perak FC untuk menyerlahkan potensi di pentas Liga Malaysia (Liga M).

Walaupun gagal memastikan tempat di Liga Super pada musim depan, sekurang-kurangnya pengalaman yang diraih dijangka mematangkan pemain muda mereka bagi menaikkan kembali Perak pada saingan musim hadapan.

Perkara itu dikongsikan pemain sayap kiri, Muhammad Adib Abdul Ra’op yang mengakui tidak menyangka mendapat banyak minit permainan bersama Perak selepas melakukan 18 penampilan di Liga Super (termasuk sembilan dalam kesebelasan utama) dan dua di Piala Malaysia.

Situasi yang terjadi untuk Perak musim ini ada baik dan buruknya kepada pasukan dengan kesan negatifnya ketiadaan ramai pemain senior memberikan kesan besar kepada persembahan pasukan.

Apa yang baiknya, pemain muda mendapat peluang keemasan untuk menunjukkan bakat serta minit permainan kerana sebelum ini agak susah untuk kami dapat peluang, kalau ada pun cuma dimasukkan di penghujung minit permainan.

Memang pada awalnya apabila kami diturunkan, rasa takut dan bimbang kerana jika tidak dapat diikuti corak yang dimahukan jurulatih. Namun, hasil sokongan pemain senior yang lain, saya mula raih keyakinan.

Azam saya dengan Perak ialah hanya mahu memastikan kami setahun sahaja di Liga Perdana dan kembali di Liga Super pada 2023.

“Selain itu, saya mahu ceriakan semula penyokong Perak dengan cuba berusaha ke suku akhir Piala Malaysia selepas dengan apa yang terjadi pada musim ini,” katanya.

sumber:- HM

Adib yang berusia 22 tahun berasal dari Bagan Datuk, dengan bakatnya dikesan sendiri oleh pengendali Perak, Shahril Nizam Khalil ketika pemilihan Piala Belia pada 2017.