Sarawak United berdepan potensi kehilangan dua tonggaknya selepas mereka sah mengemukakan surat tuntutan berhubung tunggakan gaji selama dua bulan setengah kepada pengurusan pasukan itu.

Perkembangan itu disahkan oleh peguam yang mewakili dua pemain itu, Zhafri Aminurashid yang menjelaskan pasukan terbabit diberi peluang untuk melunaskan tunggakan berjumlah ratusan ribu itu sebelum Jumaat ini.

Jelas Zhafri, kegagalan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan itu berkemungkinan akan menyaksikan kontrak pemain itu dibatalkan dan mereka diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sebelum ini kita sudah kemukakan surat tuntutan tetapi mereka berjaya menyelesaikan tunggakan dalam tempoh masa yang diberikan. Tetapi kali ini bukan sahaja membabitkan isu gaji tetapi juga isu insurans kepada pemain sebagai pemain profesional.

Kita tidak mendapat pengesahan mengenai polisi insurans bagi melindungi kebajikan pemain. Kita bimbang kalau pemain turun beraksi tanpa insurans.

Jadi, sebab itulah surat tuntutan dihantar supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Jika ia gagal diselesaikan mengikut tarikh terbabit, mungkin pemain akan mengambil keputusan untuk membatalkan kontrak dan memanjangkan kes ke FIFA.

“Tidak mustahil juga kalau ada beberapa lagi pemain akan mengambil langkah sama selepas ini,” katanya.

Terdahulu, skuad yang menjadi muncul naib juara Liga Perdana itu terpalit dengan isu tunggakan gaji selepas pemain dikatakan tidak menerima gaji selepas dua bulan setengah sementara barisan kejurulatihan pula tertunggak tiga bulan setengah.

Perkara itu didedahkan oleh sumber selepas isu terbabit hangat diperkatakan di laman media sosial.

Ya, memang benar ia berlaku (tunggakan gaji). Ada yang mula tertunggak sejak dari Julai. Tetapi pengurusan memaklumkan mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah terbabit.

Pembayaran juga dilihat agak kurang teratur kerana ada yang dibayar khususnya yang bergaji kecil tetapi yang lain tidak mendapat gaji.

sumber:- BH

“Ada pemain yang sanggup menunggu tetapi difahamkan ada pemain yang menghantar surat tuntutan kepada pengurusan mengenai tunggakan gaji mereka,” kata sumber itu.