Meskipun memperagakan aksi cemerlang musim ini, tetapi ada cerita kurang enak yang berlaku di sebalik tabir pasukan Sarawak United.

Ini kerana pasukan yang mendapat julukan ‘The Crocs’ itu dikatakan berdepan tunggakan gaji masing-masing dua bulan setengah untuk pemain dan tiga bulan setengah kepada barisan kejurulatihan.

Sumber mengesahkan perkara itu kepada BH Sukan ketika ditanya mengenai dakwaan pasukan itu berdepan tunggakan gaji seperti yang hangat diperkatakan di laman media sosial.

Ya, memang benar ia berlaku (tunggakan gaji). Ada yang mula tertunggak sejak dari Julai. Tetapi pengurusan memaklumkan mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah terbabit.

Pembayaran juga dilihat agak kurang teratur kerana ada yang dibayar khususnya yang bergaji kecil tetapi yang lain tidak mendapat gaji.

“Ada pemain yang sanggup menunggu tetapi difahamkan ada pemain yang menghantar surat tuntutan kepada pengurusan mengenai tunggakan gaji mereka,” katanya.

Sementara itu, pemain Sarawak United yang enggan dinamakan mengakui kecewa dengan situasi yang melanda pasukan itu apatah lagi selepas banyak peng0rbanan dilakukan untuk meletakkan pasukan itu berada pada kedudukan yang terbaik.

Apapun, dia tetap berbangga kerana rakan sepasukannya tetap menunjukkan komitmen sebagai pemain profesional sekalipun ‘terluka’ dengan tunggakan gaji sehingga mencecah dua bulan setengah itu.

Sangat mengecewakan dengan apa yang berlaku pada pasukan. Tidak ramai yang tahu mengenai kebenarannya dan seperti apa yang diperkatakan di media sosial, itu memang benar.

Kami sangat kecewa kerana kami bekerja keras sepanjang tahun. Kredit kepada pemain, barisan kejurulatihan dan sebahagian pengurusan yang bagus. Kami sentiasa bersama demi membanggakan orang Sarawak.

Apa yang penting kami bermain untuk diri sendiri. Banyak pengorbanan yang dilakukan pada tahun ini. Pemain Sarawak meninggalkan keluarga mereka dan pemain import pun tidak dapat berjumpa keluarga sehingga lima bulan.

“Berdasarkan pengorbanan ini, kami harap isu terbabit dapat diselesaikan kerana kami memang terkesan. Jika ia tidak dapat diselesaikan, kami bimbang prestasi cemerlang ini tidak dapat dikekalkan,” katanya.

Apa yang pasti, barisan pemain E Elavarasan jelas perlu dipuji apabila tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan untuk menunjukkan persembahan terbaik musim ini.

Ketika prestasi pasukan lain sering ‘ke laut’ ketika terpalit dengan tunggakan gaji, namun sebaliknya berlaku apabila mereka berjaya menamatkan saingan selaku naib juara Liga Perdana sekali gus mara automatik ke Liga Super musim depan.

Malah, prestasi mereka dalam Piala Malaysia juga menakjubkan apabila mendahului Kumpulan A dengan enam mata susulan kejayaan ‘memb@ham’ dua pasukan Liga Super iaitu Penang FC dan Sri Pahang FC.