Walaupun menjangkau 71 tahun namun legenda bola sepak negara Datuk Wira Soh Chin Ann masih mampu beraksi dalam perlawanan persahabatan di Kompleks Sukan Melaka Club, Tanjung Kling, petang semalam.

Beliau yang yang mewakili KB Club kelihatan masih memiliki sentuhan terbaiknya ketika beraksi men3ntang kumpulan Melaka Club bersama bekas rakan yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dan Melaka lebih 30 tahun lalu.

Antara yang beraksi termasuk bekas pertahanan kental skuad negara Wong Kou Foo selain Ching Hong Aik, Ng Joon Tai, Ramli Junit dan Samsurin Abdul Rahman.

Penganjur perlawanan, Mike Thein, 60, berkata perlawanan diadakan bertujuan meraikan kejayaan Chin Ann yang ditabal sebagai pemain paling banyak beraksi pada peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pihaknya sangat berbangga dengan pencapaian anak jati Melaka yang dijulang sebagai pemilik kap antarabangsa terbanyak dengan 195 penampilan itu.

Perlawanan diadakan sebagai simbolik kami menghargai jasa dan pengorbanan Chin Ann yang suatu ketika dahulu mengharumkan nama negara dan kini mencatat sejarah bola sepak Malaysia.

“Chin Ann sememangnya amat gah dalam arena bola sepak negara kerana kejayaan beliau membantu negara dalam banyak kejohanan selain meletakkan Malaysia layak ke temasya Olimpik pada tahun 1972 dan 1980, walaupun negara menarik diri dari temasya 1980,” katanya.

Sementara itu, Chin Ann berkata beliau menghargai program berkenaan sekali gus mengimbau kenangannya sebagai pemain yang sentiasa menjadi kenangan abadi buatnya.

sumber:- HM

Katanya, beliau berharap lebih ramai pemain berbakat besar akan lahir di negara ini untuk meneruskan kecemerlangan dalam sukan itu di persada dunia.