Sukan

Skuad bawah 23 raih kemenangan berharga

Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara merakam kemenangan meyakinkan menjelang Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia hujung bulan ini.

Barisan pemain muda negara berjaya menewaskan pasukan Liga Super, Penang FC 2-1 dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Subang Jaya, hari ini.

Kemenangan itu cukup bermakna buat anak didik Brad Maloney yang kini dalam persiapan terakhir sebelum ke Mongolia minggu depan.

Kejayaan menumbangkan Penang FC itu turut menaikkan motivasi pemain yang tewas pada aksi persahabatan pertama men3ntang juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC Rabu lalu.

Dalam aksi itu, pemain muda negara bangkit daripada ketinggalan menerusi jaringan Syafik Ismail pada minit ke-71 sebelum Nik Akif Syahiran Nik Mat menghadiahkan gol kemenangan di minit ke-86.

Gol awal skuad Harimau Kumbang pula diraih hasil sentuhan Amer Azahar pada babak pertama.

Selepas ini, skuad B-23 akan bertemu Kedah Darul Aman FC pada Isnin ini sebelum terbang ke Mongolia, di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Laos, Thailand dan Mongolia.

sumber:- HM

Skuad negara menyasarkan untuk muncul juara kumpulan bagi meraih tiket automatik ke pusingan akhir yang dijadualkan pada tahun depan di Uzbekistan.