“Jangan pandang rendah kemampuan kami,”. Demikian amaran dilaungkan striker Negeri Sembilan FC, Francis Kone, kepada pasukan lain dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Biarpun memulakan aksi kurang memberangsangkan dengan meraih tiga mata dalam dua perlawanan lalu bagi Kumpulan C, pemain kelahiran Togo itu tidak mahu ramai memperlekehkan cabaran mereka.

Di atas kertas, ramai pemerhati menjangkakan naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC dan Melaka United FC akan mara dari kumpulan itu untuk ke suku akhir tetapi Kone menganggap itu sebagai satu kelebihan buat juara Liga Perdana kerana tidak diberikan sebarang tekanan dalam Kumpulan C.

Negeri Sembilan, katanya sudah tidak lagi berada dalam fasa berbulan madu selepas meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana musim ini dan akan cuba sedaya upaya mencipta kejutan di pentas Piala Malaysia.

Pentas Piala Malaysia sangat berbeza buat kami kerana kebanyakan pasukan terdiri dari ramai pemain berpengalaman dan serta berkualiti tinggi. Kami sudah tidak boleh fikirkan lagi kejayaan menjuarai Liga Perdana kerana cabaran di Piala Malaysia sangat hebat dan pasukan perlu berusaha keras jika mahu mencipta kejutan.

Sebagai pemain, saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak pasti kepada peminat Negeri Sembilan namun kami berjanji akan beraksi habis-habisan dalam tiap perlawanan yang dilalui serta cuba mara sejauh mungkin pada saingan Piala Malaysia.

“Jangan pandang rendah dengan kemampuan kami,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Bekas pemain Kuala Lumpur City FC itu meluahkan keterujaannya dengan kehadiran semula penyokong ke stadium sebaik aksi ketiga Piala Malaysia kembali bersambung pada 29 Oktober.

Beliau berkata kejayaan menjulang Liga Perdana baru-baru ini pastinya akan membantu melonjakkan kehadiran penyokong ke stadium selain percaya semangat rakan sepasukannya semestinya akan berbeza diiringi sorakan gamat penonton nanti.

Skuad kendalian K Devan itu kini menduduki tangga ketiga Kumpulan C, berkongsi mata dengan Kedah yang berada di tempat kedua dengan kelebihan gol.

sumber:- BH

Melaka pula sedang memimpin Kumpulan C dengan pungutan enam mata dan Kelantan United pula di tangga terakhir tanpa sebarang mata.