Sukan

Luqman boleh berdepan lawan tinggi dan besar

Tonggak muda negara, Luqman Hakim Shamsudin memiliki potensi besar untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengg3mpur utama skuad Harimau Malaya.

Situasi berkenaan, dilihat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bukan berdasarkan aksi Luqman ketika perlawanan persahabatan berdepan Uzbekistan sahaja, sebaliknya dilihat secara keseluruhan termasuk prestasi pemain itu bersama skuad bawah umur negara.

Beliau berkata, pemain muda itu memiliki kriteria sebagai striker dan diharapkan mampu menggalas cabaran sebagai striker utama untuk pasukan kebangsaan.

Bukan sahaja perlawanan berdepan Uzbekistan sahaja, kalau kita tengok di peringkat bawah umur lagi dia (Luqman) nampak ada potensi yang besar sebagai penyerang utama skuad kebangsaan dan kita perlu tahu Luqman masih lagi ada karier yang panjang.

Dia bekerja keras, kita nampak ada ciri-ciri bermain sebagai satu pasukan dan dari segi individu juga dia ada teknik yang baik.

“Walaupun berdepan dengan pemain pertahanan yang tinggi dan besar, kita nampak keyakinan dia kawal bola dan dapat mencetus (situasi) kelam kabut kepada pertahanan (lawan). Kita nampak dia pemain yang bagus untuk masa depan pasukan kebangsaan,” katanya.

Untuk rekod, Cheng Hoe menyenaraikan Luqman dalam kesebelasan utama buat kali pertama ketika berdepan Uzbekistan, Sabtu lalu yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 1-5.

Malah, khidmat Luqman turut ditagih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menjelang Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang bakal berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia dari 21-31 Oktober ini.