Sukan

Bukan nak ‘bodek’ JDT

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan menganggap keputusan tewas dengan jaringan besar 0-4 dan 1-5 di tangan Jordan dan Uzbekistan mungkin berubah sekiranya beberapa tonggak utama Harimau Malaya berada dalam skuad itu.

Tonggak yang dimaksudkan adalah sebahagian besar pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies dan Farizal Marlias yang tidak disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe untuk skuad kali ini.

Mengakui tetap sukar untuk meraih kemenangan ke atas Jordan dan Uzbekistan walaupun barisan pemain ‘bintang’ itu berada dalam skuad, namun Sathianathan menjelaskan sekurang-kurangnya keputusan atau saingan lebih baik dapat diberikan Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan itu.

Kalau nak menang memang susah (walaupun ada ramai pemain tonggak). Tapi mungkin bukan senang buat Uzbekistan atau Jordan untuk bermain. Kita akan bagi lebih tekanan dan mereka takkan mudah untuk menembusi bahagian kiri dan kanan (Harimau Malaya).

Memang (keputusan) berubah kerana standard mereka (pemain JDT) lebih tinggi. Kalau anda tanya saya berkenaan perlawanan semalam (kelmarin), pemain yang ada sekarang memang standard jauh berbeza kalau dibandingkan dengan pemain JDT.

Saya bukan nak angkat JDT, nanti orang kata saya ‘bodek’. Tapi pemain JDT sudah pernah bermain di ACL (Liga Juara-Juara Asia) dan dalam liga tempatan pun mereka lebih berjaya.

Pemain berkualiti ada dekat JDT dan kita tak boleh lari daripada kenyataan bahawa pemain yang ada dekat JDT, selain tak ada Brendan Gan dan sebagainya, jauh perbezaan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya kali ini.

“Itu yang saya nampak jurang perbezaan. Kalau main tanpa tiga tonggak tak apa, ini hingga 10 atau 11 pemain. Aidil sahaja yang selalu main dengan skuad kebangsaan,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

sumber:- BH

Mengulas lanjut, Sathianathan percaya tujuan utama Tan Cheng Hoe tidak memanggil pemain berkenaan kerana mahu mencari pemain ‘simpanan’ yang boleh memberi impak seperti pemain utama dalam Piala Suzuki AFF nanti.Katanya, bekas pengendali Kedah itu memerlukan skuad yang besar untuk menghadapi pertandingan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan jika pemain utama cedera atau berdepan penggantungan.

“Jadi Tan Cheng Hoe tak bawa pemain ini sebab dia sudah tahu mereka boleh main. Saya fikir Tan memang sudah rancang kerana seorang jurulatih tahu siapa yang akan bermain.”Ketika saya bawa pasukan kebangsaan dulu, saya sudah tahu dalam kepala saya siapa yang boleh main, siapa tak boleh main dan siapa yang boleh ikut cara permainan kita,” katanya.