Sukan

Rekod baharu Malaysia sejak 2015

Malaysia menamatkan siri perlawanan persahabatan antarabangsa dengan kekalahan besar apabila dimalukan Uzbekistan 5-1, malam tadi.

Ini merupakan kekalahan terbesar yang dicatatkan, selepas kali terakhir Malaysia dibolosi lebih 4 gol adalah ketika skuad kebangsaan tewas kepada Oman 6-0, tewas dua kali kepada Palestin dengan keputusan sama iaitu 6-0 dan UAE 10-0, semuanya pada 2015.

Namun, sejak itu, Malaysia tidak pernah tewas dengan jumlah gol bolos lebih daripada 4 gol, apabila mencatatkan kekalahan 4-1 kepada Korea Utara pada 2017, Kuwait 4-1, UAE 4-0 pada pertengahan tahun ini dan terbaru Jordan dengan kekalahan 4-0.

Skuad kebangsaan ternyata tidak berupaya untuk mengekang corak permainan pantas Uzbekistan yang kerap kali mengkucar-kacirkan barisan pertahanan sehingga mengakibatkan gawang negara bolos 5 kali.

Uzbekistan mendahului 1-0 apabila hantaran dari pemain pertahanan, Farrukh Sayfiev hasil dari gerakan di sebelah kiri padang tidak disia-siakan Dostonbek Khamdamov yang melepaskan sepakan dari jarak dekat pada minit ke-17.

Khamdamov menggandakan kedudukan apabila menanduk masuk gol kedua peribadinya pada minit ke-29.

Empat minit kemudian, bahagian sebelah kiri skuad negara mudah ditembusi apabila umpanan Sayfiev disambut oleh Khusayin Norchaev yang menanduk masuk gol ketiga dalam tempoh hanya 32 minit permainan.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya merapatkan jurang apabila sepakan Faisal Halim yang terkena tiang melantun ke arah Baddrol Bakhtiar yang tidak melepaskan peluang merembat masuk gol pertama sebelum separuh masa pertama berakhir.

Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang apabila berjaya menghalang dua percubaan berbahaya Uzbekistan, masing-masing menerusi tandukan Otabek Shukurov pada minit ke-55 dan sepakan kencang striker kelab AS Roma, Eldor Shomurodov dua minit kemudian.

Namun, skuad negara dikejutkan dengan s3rangan pantas Uzbekistan apabila pemain gantian, Ibrokhimkhalil Yuldoshev, memanfaatkan lorongan mengelirukan kapten pasukan Jaloliddin Masharipov untuk menghasilkan gol ke-4 negaranya pada minit ke-67.

Percubaan terbaik skuad negara hadir pada minit ke-81 namun sepakan lencong Syafiq Ahmad tepat ke dakapan penjaga gol lawan sebelum Azizbek Amanov menolak masuk gol kelima Uzbekistan pada minit ke-88 dan kedudukan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad kebangsaan akan pulang ke tanah air dengan Piala Malaysia akan bersambung semula pada 29 Oktober ini.

Skuad Harimau Malaya akan kembali beraksi dalam Piala AFF Suzuki 2020 yang akan bermula pada 6 Disember ini.