Sukan

Nama Luqman sekali lagi hangat

Nama striker muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin kembali hangat diperkatakan selepas skuad kebangsaan mengalami kekalahan besar 4-0 kepada Jordan dalam aksi persahabatan di Stadium Raja Abdullah II, Amman pada Rabu lalu.

Justeru, ‘permintaan tinggi’ di buat terhadap ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe supaya meletakkan pemain KV Kortrijk, Belgium itu sebagai striker utama untuk aksi berdepan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, malam ini.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan turut menaruh harapan mahu melihat Luqman disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi pertemuan dengan pasukan yang berada di ranking ke-84 dunia itu.

Mungkin Luqman boleh jadi salah satu senjata kita sebab dia bermain di sana (Eropah). Secara individu, dia kuat dan saya rasa kalau Cheng Hoe berani meletakkan pemain seperti Faisal (Halim) sebagai pemain utama, kenapa tidak Luqman.

Saya fikir pengalaman atau pendedahan Luqman lagi banyak daripada pemain seperti Faisal. Bukan saya kata Faisal tak bagus, tapi dia hanya banyak beraksi di liga tempatan.

“Sudah pasti (ujian besar bagi Luqman), tapi ini masanya kalau Cheng Hoe nak cuba (letak dalam kesebelasan utama). Dia dipanggil mewakili skuad negara dari liga yang berbeza dan kita tahu liga Eropah lebih fizikal dan mental, jadi kekuatan individu Luqman yang kita perlukan,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Mengulas lanjut, Wan Jamak berkata barisan pemain skuad Harimau Malaya perlu menetapkan mentaliti dan psikologi yang lebih kuat untuk berdepan Uzbekistan.

Katanya, pemain juga perlu lebih positif untuk memberi saingan sengit terhadap Uzbekistan tanpa memikirkan kedudukan mereka dari segi ranking.

Dalam bola sepak ada empat perkara iaitu psikologi, mentaliti, taktikal dan tahap kecergasan. Ketika perlawanan dengan Jordan, saya lihat kita banyak kalah dari segi (kemahiran) individu terutama pemain muda, dan mungkin benda sama akan berlaku berdepan Uzbekistan.

Jadi, pemain kena kuatkan mental dalam individu. Apa yang penting adalah mental, bagaimana dia nak berdepan pemain di tahap lebih tinggi selepas selama ini banyak berdepan pemain tempatan.

sumber:- BH

“Memang akhirnya perlawanan akan dilihat berdasarkan kepada keputusan, tapi yang penting dalam 90 minit itu, bagaimana kita melawan mereka,” katanya.