Sukan

Lejen yang masih kempunan Piala Malaysia

Boleh dikatakan hampir semua trofi sudah dijulang sama ada dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) mahupun Asia, namun siapa sangka trofi Piala Malaysia adalah satu-satunya yang masih gagal didakap olehnya.

Individu itu adalah bekas striker kebangsaan, Safee Sali yang mengakui masih belum memenangi Piala Malaysia sama ada ketika bersama Selangor mahupun Johor Darul Ta’zim (JDT) sepanjang hampir 20 terbabit dalam kancah liga tempatan.

Berdasarkan rekod pencapaianya, pel3dak berbisa itu sudah memenangi Liga Super sebanyak lima kali ketika bersama Selangor dan JDT selain Piala FA (dua kali) dan Piala Sumbangsih (empat kali) dengan dua kelab terbabit.

Kecemerlangannya tidak hanya dalam liga domestik, malah dia turut menyinar di peringkat serantau apabila membantu skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF pada 2010 dengan Safee juga dinobatkan sebagai pemenang kasut emas kejohanan.

Pemain kelahiran Kajang, Selangor itu turut bertuah memenangi Piala AFC bersama JDT pada 2015 di mana ia dianggap pencapaian tertinggi buatnya di pentas antarabangsa khususnya di benua ini.

Safee yang sudah menginjak ke usia 37 tahun berharap dia mampu menjulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam kariernya dan mahu melakukannya bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) musim ini.

Secara jujur, saya mengharapkan ada rezeki buat kali ini bersama KL City kerana belum ada rezeki saya memenangi Piala Malaysia dengan tiap pasukan yang saya sertai.

Saya sudah merasai kejayaan memenangi trofi utama sepanjang bermain di Liga-M tetapi jika berjaya memenangi Piala Malaysia, maka lengkaplah koleksi kejuaraan buat saya sepanjang bergelar pemain.

Bersama KL City, saya akan berusaha sedaya membantu pasukan mara sejauh mungkin dan berdasarkan prestasi hebat kami di laman sendiri yang belum tewas, saya rasa kami mampu melakar sesuatu.

“Segalanya tampak menjadi kebelakangan ini dengan segala kerja keras rakan sepasukan yang dipamerkan semasa latihan, mula membuahkan hasil dan harap rentak positif mampu diteruskan sepanjang saingan Piala Malaysia,” katanya.

Skuad The City Boys ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan A selepas meraih empat mata hasil kemenangan 3-1 berdepan Sri Pahang FC selain mengikat Penang FC, 1-1 di Stadium Bandaraya.

Dalam masa sama, Safee meluahkan rasa terujanya apabila berjaya meraih semula kepercayaan ketua jurulatih, Bojan Hodak selepas sekian lama diletakkan di bangku simpanan.

Ketiadaan striker import (Kyrian Nwabueze) selain ketiadaan Paulo Josue pada waktu itu yang cedera, mungkin membuka ruang buat saya untuk diturunkan malah saya berpuas hati dapat sumbangkan satu gol semasa bertemu Kedah.

Apabila diturunkan buat pertama kali, tidak dinafikan ada perasaan kekok kerana sekian lama tidak bermain tetapi saya rasa bersyukur sudah boleh menyesuaikan diri.

sumber:- BH

“Saya harap jurulatih, Bojan akan terus berikan peluang buat saya untuk beraksi sepanjang saingan Piala Malaysia walaupun ada kalanya beliau mungkin ada perancangan tersendiri dalam soal susunan pemain pada tiap perlawanan,” katanya.